Sorting by

×

PRN Johor: Ceramah dan kempen secara fizikal, ziarah rumah ke rumah dibenarkan – SPR

Masa Membaca:1 Minit, 45 Saat

KUALA LUMPUR, 18 Feb – Penganjuran ceramah, syarahan dan kempen secara fizikal dan ziarah rumah ke rumah dibenarkan sepanjang 14 hari tempoh berkempen Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor.

Menurut prosedur operasi standard (SOP) dikeluarkan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) hari ini, ceramah dan kempen hanya dibenarkan di pejabat parti dan bilik gerakan parti yang rasmi dengan kehadiran tidak melebihi 100 orang.

“Penganjur perlu mendapatkan permit daripada Polis Diraja Malaysia (PDRM) bagi ceramah, syarahan dan kempen diadakan.

“Tempoh setiap sesi ceramah, syarahan, kempen hanya selama dua jam dan tidak melebihi jam 10 malam manakala ceramah, kempen dan syarahan di premis yang terbuka atau tempat umum adalah tidak dibenarkan,” menurut SOP itu, menambah sebarang bentuk hiburan semasa berkempen tidak dibenarkan.

Bagi SOP kempen ziarah rumah ke rumah, penyertaan adalah tidak melebihi lima orang namun tidak dibenarkan masuk ke dalam rumah atau berjumpa dengan ahli rumah dan aktiviti mengedarkan risalah perlu dibuat di luar pagar.

Mengenai SOP hari pengundian, pengundi wajib memakai pelitup muka berganda dan pengundi bergejala seperti demam, batuk, sakit tekak atau sukar bernafas perlu diasingkan serta-merta daripada pengundi lain dan mengundi di tempat khas sama ada khemah, bilik atau ruang khas.

“Selepas selesai mengundi, pengundi bergejala akan diuruskan oleh pegawai Kementerian Kesihatan (KKM) yang bertugas untuk tindakan lanjut termasuk membuat ujian kendiri Antigen Rapid Test Kit (RTK-Ag).

“Khemah, bilik atau ruang khas hendaklah dilakukan disinfeksi berdasarkan garis panduan KKM sebaik sahaja selepas setiap pengundi bergejala selesai mengundi,” menurut SOP itu.

SOP itu juga menetapkan pengundi yang disahkan positif COVID-19 tidak dibenarkan keluar dari tempat rawatan untuk mengundi bagi mengelakkan jangkitan dan menyebabkan penularan.

Bagi pengundi berstatus individu dalam siasatan (PUI) dan individu dalam pengawasan (PUS), mereka perlu memohon Pegawai Kesihatan Daerah (PKD) untuk keluar sementara ke pusat mengundi dan kebenaran tertakluk kepada penilaian risiko jangkitan oleh PKD itu.

Maklumat lanjut SOP bagi PRN Johor boleh diakses menerusi laman rasmi SPR di https://www.spr.gov.my.

SPR sebelum ini menetapkan 12 Mac sebagai tarikh pengundian bagi PRN Johor, penamaan calon pada 26 Feb manakala pengundian awal 8 Mac.- BERNAMA

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

1072
Kongsi :
Previous post Lori terbabas, lebuh raya PLUS sesak dari Bandar Ainsdale ke Nilai
Next post DAP umum Chen Kah Eng, Liow Cai Tung tanding DUN Stulang dan Johor Jaya
Ubah saiz-+=