PRN Johor : BN raih 66.25 peratus undi popular
KUALA LUMPUR, 13 Mac – Barisan Nasional (BN) mendahului undi popular pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor semalam dengan meraih 445,085 undi atau 66.25 peratus, jauh mengatasi pencabarnya.
Pakatan Harapan (PH) pula yang diwakili DAP dan AMANAH, memperoleh 168,518 undi atau 25.08 peratus, manakala Perikatan Nasional (PN) yang berkongsi 56 agihan kerusi antara BERSATU, PAS dan GERAKAN memperoleh 25,865 undi atau 3.85 peratus.
MUDA yang pertama kali masuk gelanggang pertandingan memperoleh 22,884 undi atau 3.4 peratus manakala PKR yang bertanding menggunakan logo sendiri memperoleh 9,439 undi atau 1.4 peratus.
Undi popular merujuk kepada jumlah undi yang diraih oleh setiap parti atau gabungannya.
Dari segi undi diperoleh parti yang bertanding pula, UMNO meraih 380,519 undi atau 56.6 peratus, manakala DAP meraih 159,769 atau 23.3 peratus undi, MCA (5.4 peratus), MIC (4.2 peratus), MUDA (3.4 peratus), BERSATU (2.7 peratus), PKR (1.4 peratus), AMANAH (1.3 peratus) dan PAS (1.1 peratus).
Keputusan PRN semalam menyaksikan BN kembali melebarkan penguasaannya apabila memperoleh mandat besar lebih dua pertiga majoriti apabila memenangi 40 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN), dengan UMNO memenangi 33 kerusi DUN, manakala MCA empat, dan MIC tiga.
Ia diikuti dengan PH (11), PN (tiga), MUDA (satu) dan PKR (satu).
PRN Johor ini menyaksikan 239 calon daripada 15 parti politik bertanding merebut 56 kerusi DUN, dan 1,426,573 orang atau 54.92 peratus telah keluar mengundi.– BERNAMA
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.