PRN Johor: 50 peratus keluar mengundi setakat 4 petang – SPR
Berdasarkan statistik yang dikeluarkan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), sebanyak 50 peratus pengundi direkodkan telah keluar mengundi setakat 4 petang ini, dua jam sebelum pengundian berakhir sepenuhnya pada 6 petang.
Menteri Besar Johor Datuk Hasni Mohammad adalah antara yang mengundi di sebelah petang di SK Pengkalan Raja di DUN Pekan Nanas, Pontian pada kira-kira 4.15 petang.
Hasni adalah calon Barisan Nasional (BN) yang mempertahankan kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Benut. Hasni bertanding di kerusi DUN Benut sejak 2008 dan pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14), beliau memenangi kerusi DUN itu dengan majoriti 4,447 undi.
Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob antara yang berada di Johor hari ini dan turut meninjau proses pengundian dari luar perkarangan pusat mengundi di Sekolah Kebangsaan (SK) Perumahan Tampoi 2 dalam DUN Kempas dan SK Taman Mutiara Rini dalam DUN Kota Iskandar.
Ismail Sabri turut meluangkan masa bertemu calon BN DUN Kempas Datuk Ramlee Bohani.
Seorang petugas pilihan raya di SK Sungai Melayu di Iskandar Puteri, Nur Syafiqa Azmi, 19, berkata beliau sangat teruja dapat bertugas pada PRN Johor itu kerana baginya ia merupakan satu penghormatan besar kerana dapat berbakti kepada negara.
Nur Syafiqa yang juga pengundi kali pertama berkata dirinya mengambil peluang untuk menjadi petugas pilihan raya di sekolah itu selepas ditawarkan oleh bekas guru-gurunya yang juga merupakan petugas di situ.
“Saya dapat tengok sendiri bagaimana sistem demokrasi negara kita berfungsi, selama ni hanya dengar dan tidak dapat bayangkan,” kata penuntut jurusan kejuruteraan pesawat itu kepada Bernama tentang pengalamannya hari ini.
Pada PRN Johor kali ini, seramai 239 calon daripada 15 parti politik akan bertanding merebut 56 kerusi DUN. – BERNAMA
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.