Sorting by

×

Premis warga asing diserbu MPHTJ

Masa Membaca:51 Saat

AYER KEROH 16 Julai – Majlis Perbandaran Hang Tuah Jaya (MPHTJ) telah menjalankan operasi bersepadu dalam usaha membanteras perniagaan yang dijalankan warga asing tanpa lesen.

Yang Dipertua MPHTJ, Shadan Othman berkata, operasi berkenaan dijalankan bersama Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) Negeri Melaka, Polis Diraja Malaysia (PDRM), Jabatan Imigresen Malaysia (Imigresen) Melaka dan Pejabat Daerah dan Tanah (PDT) Melaka Tengah, di sekitar kawasan Ayer Keroh pada Rabu.

Katanya, operasi itu dijalankan di lima premis yang mana dua daripadanya didapati dijalankan oleh warga asing tanpa lesen manakala selebihnya melakukan pelbagai kesalahan lain seperti halangan siar kaki/tempat awam, langgar syarat lesen dan iklan tanpa permit.

“Sebanyak tiga kompaun telah dikeluarkan berikutan kesalahan tersebut, manakala tindakan sitaan premis dan tangkapan (warga asing) pula telah diserahkan kepada pihak Imigresen dan Jabatan Kastam,” katanya ketika dihubungi.

Shadan berkata, pihaknya akan terus menjalankan operasi dan memantau premis dikendalikan warga asing secara menyeluruh di bawah kawasan pentadbiran MPHTJ.

Menurutnya, operasi dan serbuan itu akan dijalankan sekurang-kurangnya dua kali setiap bulan bagi membanteras masalah ini daripada terus berlarutan.

Views:

392
Kongsi :
Previous post ‘Terima kasih Mas Ermieyati’
Next post 41 lokasi aktif longgokan sampah haram dikesan di Melaka