Premis kosong bantu belia mulakan perniagaan – Exco Belia
AYER KEROH 5 Nov. – Kerajaan negeri bakal menyediakan ruang perniagaan di premis kosong milik pihak berkuasa tempatan (PBT) untuk membantu golongan belia berniaga khususnya kepada yang terkesan atau hilang pekerjaan sepanjang pandemik COVID-19.
Pengerusi Jawatankuasa NGO, Pembangunan Belia dan Sukan negeri Datuk Mohd Rafiq Naizamohideen berkata, buat masa ini terdapat 123 lot atau premis kosong milik PBT yang boleh direbuti belia untuk memulakan perniagaan atau memasarkan produk masing-masing.
Menurutnya, harga sewaan lot yang disediakan itu juga jauh lebih murah berbanding sewaan di premis-premis komersial.
“Buat masa ini kita mempunyai 47 lot perniagaan kosong milik Majlis Bandaraya Melaka Bersejarah (MBMB) dan 40 lot kosong milik Majlis Perbandaran Hang Tuah Jaya (MPHTJ).
“Selain itu, terdapat juga 32 lot perniagaan milik Majlis Perbandaran Alor Gajah (MPAG) dan Majlis Perbandaran Jasin (MPJ) pula memiliki empat premis perniagaan yang masih kosong.
“Premis-premis ini meliputi pelbagai bentuk perniagaan yang boleh diusahakan seperti kedai runcit, gerai makanan dan minuman, gerai sayuran dan lain-lain lagi. Jadi, kita cuba untuk menguar-uarkan perkara ini agar golongan belia merebuti peluang yang ada bagi memulakan aktiviti perniagaan,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas mempengerusikan Mesyuarat Post-Exco NGO, Pembangunan Belia dan Sukan di Bangunan Jabatan Belia dan Sukan (JBS) Negeri Melaka, di sini, hari ini.
Hadir sama, Pengarah Jabatan Belia dan Sukan (JBS) Negeri Melaka Noorman Ramlan.
Mengulas lanjut mengenai mesyuarat berkenaan, Mohd Rafiq memaklumkan pihaknya juga sedang dalam usaha membantu golongan belia yang menerima bantuan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Negeri Melaka untuk mendapatkan pekerjaan yang boleh menjamin masa depan golongan terbabit.
Jelasnya, buat masa ini, terdapat seramai 2,840 belia di negeri ini yang menerima bantuan bulanan JKM.