Sorting by

×

Predator laut ’emas’ buat nelayan

Masa Membaca:2 Minit, 6 Saat

KUALA LINGGI 26 November – Sekilas melihat hidupan marin ini barangkali menimbulkan rasa gerun dek rupanya yang menakutkan persis haiwan pemangsa atau ‘predator’ sedangkan ia mempunyai nilai berharga buat para nelayan dan penggemar makanan eksotik.

Mana tidaknya, demi belangkas betina, peraih sanggup mendapatkannya dengan harga RM10 hingga RM20 seekor daripada nelayan bagi mendapatkan telurnya yang dikatakan yang lebih manis dan berlemak.

Malahan, harga itu juga lebih berbanding beberapa jenis ikan yang biasanya dijual nelayan pinggir pantai.

SUMBER REZEKI

Bagi nelayan, Sam Mahat, 62, belangkas yang semakin menjadi rebutan kini adalah limpahan rezeki buatnya sekeluarga daripada terus mengharapkan hasil tangkapan laut seperti ikan, udang dan ketam semata-mata.

“Macam laut, ada pasang surutnya begitulah juga nelayan. Kena pandai cari sumber lain sebab rezeki dalam laut ini tidak boleh cakap.

“Belangkas ini akan ‘naik’ ke pinggir pantai apabila arus dasar laut kuat dan kalau memang rezeki dapatlah dalam 20 ekor belangkas untuk dijual kepada peraih yang sudah menunggu di darat.

“Cuma kena pandai kaji air laut sebab kalau tangkap belangkas bukan semasa ‘air besar’, susah hendak jumpa telur belangkas yang matang,” katanya ketika ditemui Melaka Hari Ini, di sini baru-baru ini.

1
SAM menggunakan jaring khas untuk menangkap spesies belangkas di sekitar perairan Kuala Linggi. Foto: Hasbullah Azhar

HIDANGAN EKSOTIK

Kata Sam yang sudah 25 tahun menjadi nelayan, permintaan belangkas yang semakin meningkat daripada pengusaha restoran makanan laut juga menguatkan lagi semangatnya untuk turun ke laut.

“Saya sudah ada beberapa pelanggan tetap terutamanya daripada pengusaha restoran makanan laut yang beli borong 20 hingga 30 ekor dengan saya.

“Memang kalau ikutkan, jual beli belangkas ini sudah macam-macam cara. Saya pernah juga jual dekat mereka yang mahu pasarkan belangkas sejuk beku secara dalam talian,” katanya.

Meskipun begitu, kata Sam tangkapan belangkas bukanlah mudah kerana dia perlu merempuh ombak yang kuat ditambah dengan ketidaktentuan cuaca pada musim monsun timur laut ini.

3
ANTARA belangkas betina yang ditangkap nelayan. Foto: Hasbullah Azhar

Sam yang menggunakan pukat atau jaring untuk menangkap belangkas turut kecewa dengan tindakan sebahagian orang awam yang sanggup membuang sampah ke kawasan pantai kerana ia menjejaskan kutipan hasil laut berkenaan.

“Apabila nampak ombak kuat, terpaksa patah balik sebab memikirkan keluarga. Lagipun, banyak sampah-sarap akan tersangkut kepada jaring sampai terpaksa berhenti tengah laut untuk buang.

“Lagi sedih apabila jadi macam ini, seekor belangkas pun tidak sangkut. Saya ini awal-awal pagi dah turun ke laut buang jaring,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

3753
Kongsi :
Previous post Ahli MT diberi peluang suarakan pandangan dalam mesyuarat khas Rabu lepas
Next post TYT dan isteri saksikan teater Tun Mamat dan Puteri Gunung Ledang
Ubah saiz-+=