Prasarana tawar aset bantu bantu pacu program vaksinasi nasional
KUALA LUMPUR 17 Jun – Prasarana Malaysia Berhad (Prasarana) menawarkan penggunaan aset miliknya untuk menjadi pemacu kepada Pelan Pemulihan Negara serta mempercepatkan proses vaksinasi khususnya di Kuala Lumpur, Selangor, Pulau Pinang dan Pahang.
Pemangku Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Prasarana Datin Norlia Noah berkata, syarikat itu sedia menjadikan bas miliknya termasuk di Pulau Pinang dan Pahang sebagai pusat vaksinasi bergerak.
“Prasarana menyokong penuh Pelan Pemulihan Negara yang diumumkan oleh Perdana Menteri (Tan Sri Muhyiddin Yassin) dua hari lepas dan misi kerajaan untuk membawa negara keluar segera daripada krisis penularan wabak COVID-19 ini.
“Sebagai tunggak utama pengangkutan awam negara, Prasarana akan bekerjasama dengan pelbagai kementerian, agensi, syarikat swasta dan badan bukan kerajaan (NGO) untuk menjalankan program khidmat masyarakat bagi memastikan program vaksinasi nasional berjalan dengan lancar,” katanya menerusi kenyataan di sini hari ini.
Prasarana juga menawarkan untuk membuka pusat vaksinasi sementara di stesen Transit Aliran Ringan (LRT) seperti Stesen LRT Putra Heights dan Stesen LRT Awan Besar, yang mempunyai kemudahan serta kawasan parkir kereta yang luas bagi memudahkan orang ramai.
Selain itu, Prasarana sedang merancang pelan menawarkan staf Prasarana berkhidmat sebagai sukarelawan di pusat vaksinasi bagi membantu meringankan beban ditanggung petugas barisan hadapan Kementerian Kesihatan ketika ini.
Prasarana akan terus menggunakan platform pengiklanan kendaliannya termasuk skrin di stesen LRT dan monorel serta aset digital di dalam bas dan tren dalam mempromosi dan meningkatkan kesedaran tentang kepentingan vaksinasi serta Pelan Pemulihan Negara.
Buat masa masa ini, bas kendalian Prasarana turut digunakan di Pulau Pinang untuk pemindahan pesakit COVID-19 ke stesen kuarantin yang ditetapkan oleh Kementerian Kesihatan.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.