PRAKARSA PERKASA EKONOMI MELAKA – KM
BANDA HILIR 28 Oktober – Beberapa prakarsa baharu disusun diyakini mampu membantu usaha Kerajaan Negeri mentransformasikan ekonomi Melaka ke tahap lebih kukuh, sekali gus melonjakkan produktiviti pembangunan, kata Ketua Menteri Menteri, Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh.
Ketua Menteri berkata, prakarsa atau inisiatif seperti pemanjangan landasan Lapangan Terbang Antrabangasa Melaka (LTAM), Batu Berendam dari 2,133 meter kepada 2,665 meter membolehkan LTAM menerima pendaratan pesawat lebih besar seperti jenis Boeing B738 dan Airbus A320 yang popular dalam kebanyakan syarikat penerbangan semasa.
Ab Rauf yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Tanjung Bidara berkata, projek dianggarkan menelan kos RM400 juta itu dilihat bakal memberi limpahan pertumbuhan penumpang udara di Melaka sebanyak enam hingga lapan peratus setahun.
“Pada 23 Oktober 2024 (Rabu) lalu, Melaka menyambut penerbangan sulung pesawat syarikat penerbangan milik Singapura iaitu Scoot Airlines. Alhamdulillah, selepas ini ruang udara Melaka kembali sibuk kerana menerima lima kali seminggu penerbangan Singapura-Melaka yang memberi lembaran baharu untuk meningkatkan akses antarabangsa ke Melaka.
“Tumpuan juga diberikan kepada pembangunan kemudahan infrastruktur. Ini memandangkan Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI) melalui Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysi (MIDA) sedang merangka Inisiatif Pembangunan Kluster Industri Tumpuan di Wilayah Tengah melibatkan Selangor, Kuala Lumpur, Negeri Sembilan dan Melaka.
“Saya yakin, inisiatif ini berpotensi diwujudkan sebagai model alternatif tanpa melibatkan Pihak Berkuasa Koridor dan tanpa tambahan bebanan kewangan baharu ke atas Kerajaan Persekutuan,” kata Menteri ketika berucap pada pada Sesi Libat Urus Rancangan Malaysia Ketiga Belas (RMK13) Oleh Kementerian Ekonomi Bersama Kerajaan Negeri Melaka di sebuah hotel di sini, hari ini.
Hadir sama pada sesi itu adalah Ketua Menteri Ke-12 Datuk Seri Utama Sulaiman Md Ali; Menteri Ekonomi Rafizi Ramli;Â Setiausaha Kerajaan Negeri Dato’ Azhar Arshad; Exco Kanan Perumahan, Kerajaan Tempatan, Saliran, Perubahan Iklim dan Pengurusan Bencana negeri, Datuk Rais Yasin, barisan Exco serta timbalan Exco Kerajaan Negeri.
Menurut beliau, Kerajaan Negeri menyambut amat baik dan komited untuk bersama-sama membangunkan Wilayah Tengah sebagai pusat kluster industri yang terintegrasi dan berdaya saing.
Mengulas lanjut Ab Rauf berkata, tiga kawasan perindustrian berteknologi tinggi telah diperhalusi untuk menjadi projek pembangunan dibawah kluster ini, antaranya MCORP Hi Tech Park (MHTP) di daerah Alor Gajah, German Technology Park (GTP) di kawasan bandar hijau, Hang Tuah Jaya, Jasin dan Kawasan Perindustrian Lipat Kajang (Elkay 2.0) di daerah
Jasin.
“Kemudahan infrastruktur ini, tentunya dapat menyediakan fasiliti perindustrian yang lebih kondusif dan bersepadu kepada para pelabur, sekali gus memberi limpahan manfaat kepada rakyat tempatan bagi menggarap peluang pekerjaan berpendapatan tinggi dalam pelbagai bidang.
“Kerajaan negeri akan memastikan segala pembangunan ekonomi yang dirancang mempunyai ‘spill-over-effect’ membawa kemakmuran kepada rakyat Melaka amnya dan Malaysia khasnya,” katanya.
Selain itu Ab Rauf memaklumkan Koridor Ekonomi Anjung Selatan membabitkan Negeri Sembilan, Melaka dan Johor juga menjadi antara inisiatif bakal diberikan penekanan dalam untuk meperkasakan lagi ekonomi negeri ini.
“Usaha ini adalah medium terbaik untuk menyelaras projek-projek pembangunan yang berimpak tinggi bagi ketiga-tiga negeri, sekali gus menjana pertumbuhan ekonomi mampan, terutamanya melibatkan pembangunan di kawasan sempadan.
“Selain dapat melengkapkan pembangunan infrastruktur, ia dijangka akan meningkatkan ekonomi negeri melalui pelbagai sektor termasuk perindustrian, pertanian dan pelancongan,” katanya.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.