Sorting by

×

PPV pandu lalu pertama di Melaka dibuka bulan ini

Masa Membaca:1 Minit, 36 Saat

ALOR GAJAH 9 Jun – Perancangan membuka Pusat Pemberian Vaksin (PPV) pandu lalu pertama di Melaka kini di peringkat akhir perbincangan dan ia dijangka dilancarkan bermula bulan ini.

Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan dan Antidadah negeri, Datuk Rahmad Mariman berkata, Dewan Tun Ali, Bukit Katil menjadi lokasi pertama diwujudkan PPV secara pandu lalu yang mana ia dibuka bertujuan untuk melancar serta mempercepatkan pemberian vaksin membabitkan rakyat negeri ini.

Katanya, majlis pelancaran PPV pandu lalu itu juga akan dilakukan dalam masa terdekat setelah segala perancangan membabitkan laluan dan prosedur pemberian vaksin itu dimuktamadkan.

SULAIMAN bertanya sesuatu kepada seorang penerima vaksin.

“Buat masa sekarang, ia (PPV pandu lalu) berada di fasa akhir perbincangan dan Insya-Allah dalam bulan ini juga kita akan melancarkan PPV pandu lalu pertama itu.

“Sekiranya kita dapati PPV pandu lalu itu berjaya melancarkan perjalanan dan membantu mempercepatkan proses pemberian vaksin, kita juga akan mempertimbangkan lokasi-lokasi lain yang bersesuaian untuk dijadikan PPV pandu lalu yang seterusnya di Melaka selepas ini,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas mengiringi Ketua Menteri Datuk Seri Utama Sulaiman Md Ali mengadakan lawatan ke PPV keenam yang dibuka di Melaka iaitu di Pusat Kecemerlangan Kejuruteraan dan Teknologi JKR (CREaTE), Alor Gajah, hari ini.

Hadir sama, Setiausaha Politik Ketua Menteri Datuk Wira Sazali Muhd Din, Pengarah Kesihatan Negeri Melaka Datuk Dr Ismail Ali dan Pengarah Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Melaka, Leftenan Kolonel (PA) Cuthbert John Martin Quadra.

Rahmad berkata, PPV CREaTE adalah PPV kedua di daerah Alor Gajah selepas PPV Kompleks Sukan Masjid Tanah yang mana ia diwujudkan bagi menampung keperluan pemberian vaksin membabitkan masyarakat yang tinggal berhampiran kawasan tersebut.

Jelasnya, sejak ia dibuka, PPV berkenaan berupaya menampung 600 penerima vaksin setiap hari.

Ditanya mengenai khabar angin satu lagi kawasan bakal dikenakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) di negeri ini, Rahmad berkata buat masa ini pihaknya tidak menerima maklumat itu.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

489
Kongsi :
Previous post Perbincangan khas Raja-Raja Melayu 16 Jun
Next post Penempatan warga asing dikhuatiri lonjak kes COVID-19 di Melaka
Ubah saiz-+=