Sorting by

×

PPSPM LAHIRKAN KAPTEN FERI CILIK

Masa Membaca:1 Minit, 43 Saat

PENGKALAN BATU 23 Februari – Bukan sahaja menjadi pelopor produk pelancongan di Sungai Melaka, bahkan Perbadanan Pembangunan Sungai dan Pantai (PPSPM) turut memperkenalkan pakej berbentuk pendidikan.

Menerusi pakej ‘Captain Ferry Junior’, PPSPM berhasrat memberi pendedahan kepada anak muda, khususnya murid dan pelajar sekolah mengenai tugas dan peranan seorang kapten feri.

Kapten Jurumudi Melaka River Cruise, Kairul Ariff Abdul Hakim berkata, menerusi pakej terbaharu itu, PPSPM memberi pendedahan kepada peserta modul berkaitan kerjaya seorang kapten merangkumi perkara asas hinggalah memberi mereka merasai pengalaman mengendali bot atau feri.

Selain itu, dia yang sudah 15 tahun berkhidmat bersama PPSPM berkata, modul disediakan itu turut mendidik peserta cara mengenal enjin, ikatan atau sulaman tali dan lain-lain lagi.

“Program ini dapat memantapkan lagi pendedahan ilmu luar sekolah, di samping dapat memberi inspirasi kepada peserta untuk menjadikan kerjaya kapten kapal sebagai pilihan apabila dewasa kelak.

“Selain mendapat ilmu, kesemua peserta juga akan diberikan sijil, di mana program ini terbuka kepada murid tadika, sekolah rendah dan sekolah menengah,” katanya kepada Melaka Hari Ini.

Terdahulu, Ketua Menteri Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh sempat menyantuni peserta-peserta program Captain Ferry Junior bertempat di Jeti PPSPM Melaka Sentral, di sini.

Hadir sama, Setiausaha Kerajaan Negeri Dato’ Azhar Arshad; Exco Kanan Perumahan Kerajaan Tempatan Saliran Perubahan Iklim dan Pengurusan Bencana negeri Datuk Rais Yasin; Exco Pelancongan Warisan Seni dan Budaya negeri Datuk Wira Abdul Razak Abdul Rahman; Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Pengkalan Batu Datuk Kalsom Noordin; barisan Exco dan Timbalan Exco Kerajaan Negeri serta Ketua Pegawai Eksekutif PPSPM Shaharul Azuar Idris.

Dalam pada itu, Kairul Ariff memaklumkan program yang diperkenalkan tahun lalu itu semakin mendapat sambutan hangat sejak tiga bulan kebelakangan ini dengan bilangan peserta dan sekolah yang mengambil bahagian terus meningkat.

Katanya, program itu bukan sahaja boleh disertai tadika atau sekolah di Negeri Melaka sahaja, bahkan ia terbuka kepada seluruh negara di mana modul tersebut akan dilaksanakan di Jeti Taman Rempah.

“Jika ada yang berminat boleh berhubung dengan PPSPM atau Melaka River Cruise atau boleh juga membuat tempahan di laman sesawang PPSPM,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

94
Kongsi :
Previous post WRUR TONJOL KEBERADAAN WAKIL RAKYAT
Next post 1,400 MERIAHKAN KEJOHANAN PIALA KETUA MENTERI, PIALA DATIN SERI UTAMA ZURIYAH