PPSPM CAKNA KEBAJIKAN PENIAGA FLOATING MARKET
AYER KEROH 5 Februari – Pembinaan sebuah laluan sementara dijangka mampu meredakan keresahan peniaga di pasar terapung atau ‘floating market’ susulan lokasi tumpuan pelancongan itu kini didakwa berdepan masalah penurunan jumlah pengunjung.
Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Pembangunan Sungai dan Pantai Melaka (PPSPM) Shaharul Azuar Idris berkata, perkara itu berpunca daripada penutupan laluan utama ke lokasi berkenaan berikutan kerja-kerja menyiap dan memasang jabatan pejalan kaki berhampiran yang sedang giat dilaksanakan oleh kontraktor dilantik Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS).
Katanya, susulan itu berlaku pengurangan jumlah pengunjung hampir 20 peratus ke pasar terapung yang memulakan operasi pada Jun tahun lalu.
“Kerja-kerja pemasangan jambatan pejalan kaki ini sudah dimaklumkan kepada pihak peniaga dan penganjur memberikan diskaun sewa sebanyak 50 peratus bermula Januari sehingga kerja-kerja pembinaan jambatan pejalan kaki ini selesai.
“Hasil perbincangan, wakil JPS bersetuju untuk membina laluan sementara bagi memudahkan pengunjung ke floating market dan dijangka siap selewat-lewatnya Jumaat ini (7 Februari).
“Kami amat peka terhadap aspek kebajikan peniaga. Perbincangan bersama penganjur floating market juga sudah dibuat susulan video daripada salah seorang peniaga yang menyuarakan keresahan beliau akibat penurungan jumlah pengunjung yang tular di media sosial,” katanya menerusi satu kenyataan hari ini.
Menurutnya, sejak beroperasi secara rasmi hingga 4 Februari lalu floating market sudah merekodkan jumlah pengunjung seramai 433,215 orang.
“Lokasi bagi perniagaan floating market dan satu lagi produk terletak berhampiran iaitu Windmill Pink Market pada masa kini adalah bersifat sementara dan pihak pengurusan mempunyai perancangan bagi memindahkan tapak Windmill Pink Market ke lokasi yang lebih selesa dan strategik,” katanya.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.