PPSPM berwajah baharu sempena TMM2024

Masa Membaca:2 Minit, 7 Saat

BANDARAYA MELAKA 19 Disember – Persiapan sepenuhnya sudah dilakukan Perbadanan Pembangunan Sungai dan Pantai Melaka (PPSPM) bagi menyambut Tahun Melawat Melaka 2024 (TMM2024) termasuk menjadi tuan rumah kepada pelancaran TMM2024.

Ketua Pegawai Eksekutif PPSPM, Datuk TPr. Murad Husin berkata, selain memperkenalkan beberapa produk serta pakej baharu, pembaharuan ke atas aset utama perbadanan itu iaitu bot Melaka River Cruise (MRC) turut dilakukan bagi memberi gambaran menarik kepada pengunjung.

“Untuk PPSPM kita sudah bersedia sepenuhnya bagi menyambut TMM204 ini bukan sahaja dengan menyusun program sendiri malah dari segi kesiapsiagaan bot yang kita gunakan kerana bagi perbadanan fokus utama kami adalah bagaimana menawarkan perkhidmatan yang terbaik kepada pengunjung.

“Malah sebagai persediaan TMM2024 juga kita melakukan penambahbaikan ke atas bot dengan menampilkan imej baharu. Kalau kita lihat pada bot memang ada perubahan berbanding dulu MRC hanya berwarna biru tetapi kini menampilkan pelbagai imej menarik.

“Dalam menerima jumlah pengunjung seramai satu juta orang, kita juga melakukan persiapan lebih tersusun dengan mengambil kira faktor bot, jualan tiket dan perjalanan bot agar apabila mereka yang menggunakan perkhidmatan kami akan merasai pengalaman menarik,” katanya pada wawancara khas di pejabatnya di Dataran Pengkalan Rama, di sini.

Menurut TPr. Murad, selain kesiapsiagaan membabitkan aset dan fasiliti milik perbadanan itu, pihaknya juga turut memfokuskan persediaan jurumudi yang menjadi tonggak utama dalam memberikan perkhidmatan terbaik kepada pengunjung ketika menelusuri Sungai Melaka.

“Sebenarnya PPSPM kita sememangnya ada proses latihan yang disediakan kepada semua jurumudi MRC, selain dilatih dengan secukupnya mereka ini dibekalkan juga dengan kepakaran menyelamat sekiranya berlaku sebarang perkara tidak diingini.

“Selari dengan hasrat kita juga dalam memberi dan menyediakan perkhidmatan terbaik kepada pengunjung, PPSPM sentiasa memberi latihan kepada jurumudi dalam menyambut kedatangan pengunjung dan berinteraksi dengan mereka,” katanya.

Murad berkata, menerusi pembaharuan yang dilakukan pihaknya menerima reaksi positif dalam kalangan pengunjung yang menggunakan perkhidmatan MRC khususnya mereka yang menelusuri Sungai Melaka sepanjang kira-kira 4.5 kilometer.

“Dengan apa yang dilakukan, kita mendapat pujian pengunjung apabila mereka mengatakan pemandangan menaiki bot pada waktu malam amat menarik dan cantik apabila laluan dipenuhi dengan cahaya lampu bewarna-warni dan dekoratif sepanjang 4.5 kilometer dari Taman Rempah sehingga ke Muara Sungai Melaka.

“Jadi saya yakin dengan pembaharuan dan persiapan dilakukan bukan sahaja dari kami PPSPM tetapi juga seluruh agensi Kerajaan Negeri sambutan TMM2024 akan berjalan dengan lancar serta mencapai sasaran jumlah pengunjung,” katanya.

Jelasnya lagi, mewakili warga PPSPM beliau amat berbesar hati apabila Kerajaan Negeri memilih Pejabat PPSPM dan kawasan Dataran Pengkalan Rama sebagai lokasi sambutan TMM2024 dan Ambang Tahun Baharu yang akan disambut pada 31 Disember ini.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

3169
Kongsi :
Previous post Percepatkan loji WTE di Sungai Udang
Next post Bomba selamatkan lembu terperangkap dalam parit
Ubah saiz-+=