Sorting by

×

PPDK Seri Malindo kini pusat latihan kemahiran OKU di Melaka

Masa Membaca:1 Minit, 48 Saat

LENDU 12 Jan – Pertubuhan Pemulihan Dalam Komuniti (PPDK) Seri Malindo di sini, berbangga dengan langkah kerajaan negeri menaik taraf PPDK itu sebagai pusat latihan kemahiran OKU di Melaka.

Pengerusinya, Hanafiah Othman, 62, berkata PPDK Seri Malindo sebagai pemilik Koperasi Usaha Sama Pemulihan Dalam Komuniti bersedia menerima lebih ramai pelatih OKU berusia lebih 18 tahun untuk mendapatkan ilmu kemahiran.

“PPDK Seri Malindo berfungsi sebagai sekolah untuk pelatih OKU menimba pelbagai ilmu sebelum dimasukkan ke bengkel kemahiran di koperasi untuk berlatih membuat pelbagai kerja kemahiran.

“Antara kemahiran yang disediakan ialah menjahit beg kain berasaskan batik, kanvas, polyster dan songket serta menyulam dengan menggunakan mesin,” katanya ketika ditemui di koperasi itu di sini hari ini.

Beliau mengulas pengumuman EXCO Hal Ehwal Wanita, Pembangunan Keluarga dan Kebajikan negeri, Datuk Kalsom Nordin mengenai langkah kerajaan menaik taraf PPDK Seri Malindo sebagai pusat latihan kemahiran OKU di negeri ini dengan peruntukan RM100,000.

Hanafiah berkata, setakat ini koperasi itu mempunyai 25 mesin jahit dan satu mesin sulam dan ia akan dipertingkatkan sejajar pertambahan pelatih OKU.

Katanya, setiap pelatih yang dibimbing empat tenaga pembimbing di bengkel berkenaan menerima gaji berdasarkan produk yang dihasilkan sebagai tambahan kepada elaun bulanan RM450 disediakan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM).

“Baru-baru ini mereka menyiapkan 4,000 pelitup muka, selain produk kraftangan mereka dibawa menyertai pameran dan jualan di ‘Empowering Lives, Engaging Hearts – UNESCO’ di Paris,” katanya.

Pelatih OKU menjahit beg di bengkel Koperasi Usaha Sama Pemulihan Dalam Komuniti di Masjid Tanah.

Hanafiah yang pernah dipilih sebagai Pengerusi Cemerlang PPDK Kebangsaan 2016 berkata, PPDK Seri Malindo dipilih sebagai PPDK Cemerlang Kebangsaan 2021.

Sementara itu, Penyelia PPDK Seri Malindo Norzihan Mamat, 52, berkata pelatih OKU terbabit bukan setakat komited melaksanakan tugas masing-masing, malah sentiasa berdisplin ketika menimba ilmu kemahiran.

“Walaupun OKU, mereka mampu menyempurnakan tugas yang diberikan dan memperoleh ganjaran setimpal dengan kerja masing-masing,” katanya.

Penyelia jahitan, Norhidayati Abdul Karim, 38, berkata bengkel berkenaan akan menganjurkan kursus asas jahitan pakaian untuk pelatih terbabit.

Katanya, jika ada kemasukan pelatih OKU baharu, bengkel itu mampu menyediakan peluang untuk mereka meraih ilmu dan pengalaman kemahiran.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

3440
Kongsi :
Previous post 160 kucing, anjing dikembiri
Next post Terima suapan RM320, bekas Penolong Pegawai Perpaduan didenda RM4,000
Ubah saiz-+=