Potensi Melaka sebagai syurga makanan – Ketua Menteri

Masa Membaca:1 Minit, 48 Saat

KOTA LAKSAMANA 26 Jun – Pemain industri kulinari disaran untuk menjalin kerjasama dengan Kerajaan Negeri bagi menarik lebih ramai pelancong sempena Tahun Melawat Melaka 2024 (TMM2024).

Ketua Menteri, Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh berkata, ia berikutan indusri kulinari juga mampu menjadi kayu pengukur kepada Negeri Melaka untuk mencipta lebih banyak kejayaan dalam sektor pelancongan, sekali gus meningkatkan pertumbuhan ekonomi.

Katanya, sejak TMM2024 dilancarkan, semua premis makanan di negeri ini meraih pulangan yang lebih baik.

Berikutan itu, jelas Ketua Menteri, dalam mempromosikan pelancongan bukan sahaja seni dan budaya, seni masakan Melayu serta identiti makanan Baba dan Nyonya turut akan diangkat menjadi tarikan pelancongan ke Negeri Melaka.

“Pastinya Melaka akan menarik lebih ramai pelancong dengan adanya restoren yang mempunyai standard pemakanan bertaraf dunia yang mana mereka ini boleh bekerjasama dengan semua industri kulinari dalam negeri ini untuk dijadikan Melaka yang ada tempat segala-galanya,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas menyempurnakan Majlis Perasmian Menu Terbaru Cafe Chef Wan Musim ke-4 di The Shore Shopping Gallery, di sini hari ini.

Hadir sama Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Azhar Arshad; Exco Pelancongan, Warisan, Seni dan Budaya negeri, Datuk Wira Abdul Razak Abdul Rahman; Pegawai Kewangan Negeri, Datuk Salhah Salleh; Penasihat Undang-Undang Negeri, Datuk Abd Aziz Engan serta Datuk Redzuawan Ismail atau lebih dikenali sebagai Cef Wan.

Mengulas lanjut, Ab Rauf berkata memandangkan lokasi restoren Cef Wan yang berada dalam galeri itu, cef selebriti terkenal itu dialu-alukan untuk menjalin kerjasama dengan Kerajaan Negeri merancakkan sektor pelancongan makanan di Melaka.

“Saya mengalu-alukan beliau untuk bersama-sama dengan Kerajaan Negeri memilih mana-mana kawasan bagi membantu menjadikan restoren Melayu bertaraf antarabangsa.

“Kita boleh bekerjasama dengan ikon kulinari Malaysia untuk bersama-sama mempromosi pelancongan serta mana-mana restoren bertaraf tiga, empat atau enam bintang,” katanya.

Dalam pada itu, Ketua Menteri berkata dalam usaha Kerajaan Negeri menarik kedatangan lebih ramai pelancong ke Melaka, pemain industri ini boleh mengambil kesempatan dengan menggunakan medium pusat beli-belah The Shore Shopping Gallery sebagai ikon makanan dan minuman.

“Jadi, jika pusat beli belah itu hendak buat promosi boleh bawa pelbagai program bagi membantu pemain industri untuk limpahan kehadiran pelancong,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

94
Kongsi :
Previous post Melaka berjaya turunkan kadar pengangguran
Next post Ab Rauf tinjau perkembangan Texas Instruments
Ubah saiz-+=