Sorting by

×

Potensi ekosistem industri EV, NEV Melaka-Guigang

Masa Membaca:1 Minit, 46 Saat

AYER KEROH – Jalinan kerjasama pelaburan dengan pemain industri pembuatan kenderaan tenaga baharu (NEV) dan kenderaan elektrik (EV) berpangkalan di Guigang, Wilayah Autonomi Zhuang Guangxi di Selatan China, amat penting dan bakal memberikan pulangan ekonomi yang besar buat Negeri Melaka.

Ketika ini Guigang menjadi antara pengeluar EV dunia dengan produk dihasilkan dieksport ke Asia Selatan, Eropah, Rusia dan Asia Tenggara.

Jika direalisasikan, kerjasama antara Melaka-Guigang akan menjadikan negeri ini sebahagian daripada rantaian atau ekosistem pengeluar pelbagai produk NEV dan EV global termasuk alat ganti.

Berikutan itu Ketua Menteri Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh yang mengetuai delegasi Misi Pelaburan dan Promosi Pelancongan Melaka ke Wilayah Autonomi Zhuang Guangxi, turut menggunakan peluang yang ada untuk meninjau fasiliti industri berteknologi tinggi di wilayah itu.

Ketua Menteri berkata, selain perjumpaan empat mata bersama pemimpin kanan wilayah berkenaan, delegasi Melaka turut melawat ke kemudahan fasiliti Tenaga Baharu (NE) Lu Yuan dan Pusat Pemeriksaan NEV Guangxi di Guigang.

“Lawatan ke Guigang antara lain bertujuan untuk menarik penyertaan pemain industri dan pelabur dari China untuk meneroka peluang pelaburan baharu di Melaka menerusi pembinaan hab alat ganti NEV bagi pasaran Asia.

“Guigang adalah bandar raya pengeluar EV dan e-basikal yang terbesar di China, selain fasiliti NE, Guigang adalah pengeluar komponen serta alat ganti NEV untuk lebih daripada 50 jenama terkenal di seluruh dunia,” kata Ketua Menteri menerusi hantaran di Facebook Rasmi beliau.

Delegasi Kerajaan Negeri Melaka turut disertai Exco Pelancongan, Warisan, Seni dan Budaya negeri, Datuk Wira Abdul Razak Abdul Rahman; Penasihat Khas Pelaburan Ketua Menteri merangkap ‘Special Envoy’ Melaka ke China, Datuk Lim Ban Hong; Pengurus Besar Perbadanan Ketua Menteri Melaka (CMI), Masrul Faizal Mohamad serta Pengurus Besar Melaka World Heritage, Erne Hamsah.

Menurut beliau Taman Perindustrian EV di Guigang seluas 667 hektar memberi nilai pulangan tahunan melebihi RMB100 bilion (RM64.5 bilion).

“Saya bersama delegasi Kerajaan Negeri Melaka turut dibawa melawat ke Pusat Pemeriksaan Kenderaan Tenaga Baharu di Guigang, sebelum mengadakan lawatan ke produk pelancongan di Qingxiu dan Muzium Guangxi,” katanya.

Selain memberikan tumpuan kepada pasaran domestik China, Guigang juga sedang meneroka pasaran global menerusi pelbagai inisiatif.

 

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

744
Kongsi :
Previous post Kantoi sorok barang kawalan
Next post Tingkat kutipan cukai untuk keselesaan rakyat
Ubah saiz-+=