![Img 4921](https://www.melakahariini.my/wp-content/uploads/2020/10/IMG_4921-scaled-e1603370891170.jpg)
Positif COVID-19, Ghafaar kini stabil – Anak
MELAKA 11 Nov – Penyandang kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Asahan, Datuk Seri Abdul Ghafaar Atan yang dimasukkan ke Hospital Besar Melaka sejak Ahad lepas akibat jangkitan COVID-19, kini dalam keadaan stabil, dan masih dirawat di Unit Rawatan Rapi hospital berkenaan.
Anaknya Norhalis, 35, ketika dihubungi berkata bapanya mula batuk-batuk Ahad lepas dan membuat ujian pengesanan di sebuah hospital swasta sebelum disahkan positif, dan dia disyaki mendapat jangkitan itu dari anggota keluarganya.
“Doktor ada menghubungi saya semalam menyatakan bahawa walaupun bacaan oksigennya masih rendah, tetapi dia stabil,” katanya.
Sehubungan itu beliau dengan rendah hati memohon orang ramai supaya mendoakan kesembuhan bapanya dan membacakan Yassin Syifa untuknya.
Semalam beberapa media melaporkan Abdul Ghafaar berada dalam keadaan kritikal dan ditidurkan di ICU Hospital Melaka akibat COVID-19. – BERNAMA
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.