Posisi Zainal jadi rebutan?
DESAS-DESUS mengenai masa depan Zainal Abidin Hassan bersama Melaka United (MU) menjadi antara isu yang hangat diperkatakan ketika ini.
Apa tidaknya, kini khabar angin bertiup kencang mengaitkan posisi Ketua Jurulatih MU sudah mula menjadi rebutan ramai.
Menurut sumber terdekat, difahamkan Persatuan Bolasepak Melaka United (MUSA) kini telah menerima beberapa ‘resume’ daripada jurulatih dalam dan luar negara untuk memimpin skuad Hang Tuah dalam saingan Liga Malaysia musim depan.
Sumber itu menyebut terdapat kira-kira enam ke tujuh jurulatih menyuarakan minat mengambil alih tempat Zainal Abidin yang sekadar membawa pasukan menduduki tangga ke-9 Liga Super musim lalu.
Namun, nama jurulatih tersebut tidak didedahkan sumber itu sebaliknya mengatakan perkara itu akan diputuskan dalam mesyuarat Jawatankuasa Khas MUSA dalam masa terdekat.
Bagaimanapun di pihak penyokong, sudah ada beberapa nama dicanang-canang berpotensi mengambil alih posisi Ketua Jurulatih MU.
Ada yang menyebut rakan baik Zainal, Dollah Salleh mungkin akan dibawa ke Melaka, malah tidak kurang juga menyebut jurulatih asing mungkin dibawa untuk memperkuat pasukan seperti yang dilakukan Selangor.
Bagi Pentadbir Kelab Tegar Melaka United (KTMU) yang mesra dengan panggilan Rinkashi berkata, sebagai penyokong pihaknya menyerahkan sepenuh kuasa kepada MUSA untuk menentukan hala tuju pasukan.
Katanya, seandainya MUSA memilih untuk mengekalkan Zainal, pihaknya tidak mempunyai masalah dan jika MUSA mengambil jurulatih baharu juga ia dipercayai mampu mendatangkan kebaikan buat pasukan.
“Sama ada kekalkan Zainal atau bawa masuk jurulatih baharu kita sebagai penyokong meletak kepercayaan kepada pengurusan. Bagi saya ia tiada masalah asalkan itu perkara terbaik untuk pasukan.
“Cuma satu yang diharapkan ialah anda kata berlaku pertukaran, kita mahu Ketua Jurulatih tiba dahulu sebelum pemain. Kita tidak mahu pisang berbuah dua kali kes seperti Eric Williams dahulu yang mana pemain smpai dahulu sebelum jurulatih dan hasilnya boleh dikatakan sangat teruk,” katanya kepada Melaka Hari Ini.
Bagaimanapun, Rinkashi berkata, seandainya penyokong diberi peluang untuk memilih seorang jurulatih baharu memimpin Melaka, pihaknya berharap bekas pengendali Melaka United di pertengahan musim 2018, E Elavarasan dapat masuk ke dalam senarai pendek pihak pengurusan.
Jelasnya, Elavarasan yang pernah menyelamatkan MU sewaktu menduduki tangga tercorot dahulu wajar dipertimbangkan kerana dia telah membuktikan kemampuannya sebelum ini mencorakkan suatu idea dan taktikal ‘fresh’ untuk pasukan.
“Nama Elavarasan memang sentiasa bermain di hati. Dia ambil alih pasukan dalam keadaan tidak tersusun dan mampu mencorakkan sesuatu yang luar biasa kepada pasukan ketika itu. Namun, sayangnya dia tidak dikekalkan pengurusan terdahulu.
“Jika diberi peluang, memang saya ingin lihat Elavarasa memimpin semula pasukan dan mengetahui sendiri apa yang mampu diberi dan dijanjikan bukan sahaja kepada pengurusan dan pemain tetapi juga untuk penyokong setia Melaka United dan anak jati Melaka itu sendiri,” katanya lagi.