Pos Malaysia sedia alternatif susulan penggantungan sementara perkhidmatan antarabangsa
KUALA LUMPUR, 5 Ogos – Pelanggan Pos Malaysia boleh memilih untuk menggunakan perkhidmatan kurier antarabangsa AsiaXpress bermula hari ini berikutan penggantungan sementara perkhidmatan Mel Antarabangsa, Bungkusan Antarabangsa dan Express Mail Service (EMS) kendaliannya mulai 3 Ogos sehingga diberitahu kelak.
Menurut jurucakap Pos Malaysia, perkhidmatan itu ditawarkan pada harga premium yang boleh didapati di pejabat pos, pusat Pos Laju terpilih bagi penghantaran mel dan bungkusan antarabangsa ke lebih 220 buah negara.
“Pada waktu yang mencabar ini, Pos Malaysia sentiasa bersedia untuk memberi bantuan kepada para pelanggan termasuk menyediakan alternatif terbaik bagi penghantaran antarabangsa terutamanya sepanjang penggantungan sementara perkhidmatan antarabangsa. Ini termasuk mengesyorkan AsiaXpress kerana seperti Pos Malaysia, ia memberikan komitmen yang tinggi terhadap kualiti,” kata jurucakap itu ketika dihubungi Bernama.
AsiaXpress adalah syarikat yang dimiliki sepenuhnya oleh Pos Malaysia dan kekal menyediakan perkhidmatan antarabangsa melalui penggunaan perkhidmatan kurier komersial utama yang mengendalikan sendiri pesawat atau kapal bagi penghantaran ke destinasi antarabangsa.
Pos Malaysia hanya menggunakan aset logistik udara dan lautnya untuk kegunaan domestik dan bergantung kepada penerbangan komersial untuk penghantaran mel dan bungkusan antarabangsa serta EMS.
Pos Malaysia adalah pengendali perkhidmatan pos di Malaysia yang dilantik bagi melaksanakan tanggungjawab di bawah Obligasi Perkhidmatan Sejagat atau Universal Service Obligation (USO) merangkumi penyediaan perkhidmatan pos yang asas, mudah diakses dengan harga yang berpatutan kepada semua di negara ini tidak kira lokasi, tidak seperti penyedia perkhidmatan kurier komersial yang tidak diwajibkan untuk melaksanakan USO.
Pos Malaysia juga bekerjasama rapat dengan pengendali pos di seluruh dunia dalam memastikan kelancaran rangkaian pos antarabangsa dan perjalanan keluar dan masuk mel, bungkusan dan Express Mail Service (EMS), dikenali oleh penggiat industri sebagai perkhidmatan jalur pos atau postal lane services.
Bagaimanapun, keadaan luar dijangka seperti penutupan sempadan, penangguhan perkhidmatan penerbangan dan penutupan lapangan terbang atau pelabuhan boleh menyebabkan gangguan pada perkhidmatan jalur pos dan boleh mengakibatkan pengendali perkhidmatan pos menghentikan sementara perkhidmatan antarabangsa sehingga keadaan bertambah baik.
Pos Malaysia juga menyatakan bahawa syarikat perkhidmatan kurier komersial bukan pengendali perkhidmatan pos yang dilantik dan tidak diwajibkan menjalankan USO, serta memiliki fleksibiliti untuk mengubah laluan penghantaran dan kadar harga sekiranya berlaku masalah global seperti pandemik COVID-19, kerana syarikat kurier komersial berada di luar rangkaian pos yang digunakan pengendali perkhidmatan pos.
Rancangan mitigasi jangka panjang Pos Malaysia termasuk mencari penyelesaian logistik seperti perkhidmatan kereta api untuk mengangkut barangan ke Eropah melalui China dan menjalin kerjasama dengan organisasi-organisasi pos untuk mendapatkan penyelesaian alternatif seperti perkhidmatan transit bagi barangan pos ke negara yang tiada sambungan udara atau hanya mempunyai penerbangan yang terhad.
Minggu lalu, Pos Malaysia telah mengumumkan penggantungan sementara semua perkhidmatan mel antarabangsa, bungkusan antarabangsa dan EMS, kecuali ke Singapura, disebabkan impak perkhidmatan berkaitan COVID-19 yang merangkumi perbezaan tahap sekatan di negara destinasi ke atas penerbangan, penutupan lapangan terbang dan perkhidmatan rentas sempadan.
Penggantungan itu dijangka berakhir sebaik sahaja sektor penerbangan komersial mula pulih dan apabila Pos Malaysia memperoleh rangkaian antarabangsa alternatif dengan rakan pos dan penyedia perkhidmatan logistik.- BERNAMA