Sorting by

×

Pos Malaysia mohon maaf, nafi rasionalisasi Pos Rider punca penghantaran lewat

Masa Membaca:1 Minit, 37 Saat

AYER KEROH 8 Julai – Pos Malaysia Berhad (Pos Malaysia) menegaskan penamatan program khidmat luaran Pos Rider baru-baru tidak menjejaskan perkhidmatan penghantarannya.

Jurucakap Pos Malaysia menegaskan ini kerana pihaknya mempunyai bilangan petugas penghantaran tetap yang mencukupi di seluruh negara.

“Sebagai tambahan kepada petugas Pos Laju sepenuh masa, kakitangan posmen yang sebelum ini bertugas sebagai penghantar surat turut membantu menjalankan penghantaran kurier kepada pelanggan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Begitupun Pos Malaysia memohon maaf kepada pelanggan di Melaka atas sedikit kelewatan yang tidak dapat dielakkan akibat kekangan sementara operasi sepanjang tempoh pandemik ini.

Jurucakap itu berkata, Pos Malaysia pada 3 Julai lalu mengumumkan perubahan sementara waktu perniagaan pejabat pos dan Pusat Pos Laju seluruh negara sepanjang perintah kawalan pergerakan (PKP).

“Perkhidmatan penghantaran berjalan seperti biasa, namun dijangka ada kelewatan sepanjang tempoh ini dan sehingga diumumkan kelak disebabkan kekangan dihadapi serta penyesuaian masa operasi dan kapasiti kami.

“Tambahan lagi, kami perlu mematuhi SOP (prosedur operasi standard) ditetapkan Majlis Keselamatan Negara termasuk memastikan hanya 60 peratus kakitangan hadir bekerja pada satu-satu masa di semua premis, termasuk pusat pemprosesan bungkusan.

“Justeru, kami sarankan pelanggan menggunakan alamat kediaman sebagai alamat penghantaran bagi pembelian atas talian untuk memastikan penghantaran lancar sepanjang PKP,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Menurut jurucakap itu, Pos Malaysia menguruskan purata 300,000 hingga 320,000 bungkusan sehari dan bilangan itu meningkat pada waktu-waktu tertentu seperti jualan khas 7.7, musim perayaan dan seumpamanya.

“Kami menghargai kesabaran dan sokongan pelanggan sepanjang tempoh ini, jika ada sebarang pertanyaan boleh hubungi menerusi AskPos di www.pos.com.my atau seperti yang tersedia di skrin utama aplikasi mudah alih Pos Malaysia,” katanya.

Sebelum ini MHI melaporkan aduan pengguna yang tidak berpuas hati terhadap perkhidmatan syarikat kurier yang lewat menghantar barang pelanggan.

Rata-rata mereka (pelanggan) berdepan perkara itu mengecam dan mempertikai perkhidmatan sering lewat serta pelbagai masalah lain berlarutan sejak berbulan lalu seolah tiada jalan penyelesaian.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

557
Kongsi :
Previous post PKP bersasar di Ayer Keroh, lapan kilang ditutup
Next post Isu pindah pekerja asing selesai, hanya salah faham
Ubah saiz-+=