Sorting by

×

PORTAL RASMI KERAJAAN NEGERI MELAKA, TOURISM MELAKA DILENGKAPI CHATBOT AI

Masa Membaca:1 Minit, 37 Saat

SERI NEGERI 27 Disember – Portal Rasmi Kerajaan Negeri Melaka dan Portal Tourism Melaka bakal dilengkapi dengan chatbot AI dalam mempertingkatkan lagi mutu penyampaian perkhidmatan awam di negeri ini.

Exco Sains, Teknologi, Inovasi dan Komunikasi Digital negeri, Datuk Fairul Nizam Roslan berkata, inisiatif ini antara langkah proaktif diambil Kerajaan Negeri selaras dengan hasrat Kerajaan mempercepatkan penggunaan teknologi kecerdasan buatan (AI) dalam sektor utama di dalam negara.

“Dengan kemudahan chatbot AI ia dapat meminimakan masa tindak balas terhadap pertanyaan berkaitan pelancongan yang diajukan kepada Bahagian Promosi Pelancongan (BBP). Selain pertanyaan awam kepada Bahagian Komunikasi Korporat tanpa dibatasi waktu operasi pejabat.

“Selain mempercepatkan proses komunikasi, penggunaan chatbot AI juga akan memberikan sokongan yang lebih cekap serta berkesan untuk memperkukuhkan sistem penyampaian online kerajaan kepada orang awam,” katanya.

Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Asahan berkata demikian ketika menjawab soalan Datuk Zahari Abd Kalil (BN-Durian Tunggal) pada Persidangan Ketiga (Bajet) Penggal Ketiga Dewan Undangan Negeri Melaka Yang Kelima Belas, di sini, hari ini.

Menurut Fairul Nizam, selain penggunaan chatbot, Kerajaan Negeri melalui Unit Perancangan Ekonomi Negeri (UPEN), Bahagian Teknologi Maklumat dan Komunikasi (BMTK) dan BBP juga berhasrat untuk melaksanakan Melaka AI Smart Heritage Tourism pada 2025.

“Sekarang ini masih dalam peringkat perincian dan kajian, sudah semestinya aplikasi ini akan diletakkan di kawasan tumpuan pelancong utama sekitar Banda Hilir, Melaka River Cruise dan Zoo Melaka.

“Lokasi ini antara tempat yang kita cadangkan, selain bantuan tenaga manusia kita juga boleh memanfaatkan AI untuk menyantuni pelancong yang datang ke Melaka,” katanya.

Jelasnya, selain itu juga, Kerajaan Negeri juga akan melancarkan Pelan Pembangunan Data Raya Negeri Melaka 2035 (PPDR 2035) yang merupakan komitmen jangka panjang Kerajaan Negeri untuk memastikan Melaka terus berada di barisan hadapan dalam revolusi data raya.

“PPDR 2035 ini akan menjadi garis panduan kepada Kerajaan Negeri untuk meningkatkan keupayaan dalam bidang data seterusnya menjadikan Melaka sebuah negeri lebih pintar serta bersedia menghadapi cabaran masa depan,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

122
Kongsi :
Previous post TAHUN MELAWAT MELAKA DITERUSKAN HINGGA 2026
Next post RM500,000 LAKSANA KAJIAN IMPAK PELAKSANAAN JAMBATAN MELAKA- DUMAI
Ubah saiz-+=