‘Port lejen’ Melaka kini jadi setinggan gelandangan?

Masa Membaca:2 Minit, 39 Saat

BANDARAYA MELAKA 26 Jun – Beberapa lokasi yang pernah menjadi lagenda meninggalkan 1,001 kenangan sekitar tahun 1990-an di bandar ini kini berubah sepi, kotor dan terbiar sehingga mencacatkan pemandangan.

Lebih menyedihkan, kawasan yang dahulunya dianggap ‘port lejen’ atau ‘syurga’ membeli belah pada hujung minggu khususnya setiap kali musim perayaan utama kini didakwa bertukar wajah setinggan gelandangan.

Tinjauan wartawan dan juruvideo Melaka Hari Ini (MHI) di sekitar kawasan berkenaaan yang terletak sekitar empat kilometer dari pusat bandar membuktikan aduan daripada pembaca MHI itu berasas dan menjelaskan segala-galanya.

BANGUNAN usang yang dipercayai menjadi lokasi tempat berteduh gelandangan

Perjalanan kami bermula di deretan rumah kedai di Jalan Hang Tuah berjaya menjejaki beberapa individu dipercayai gelandangan berusia sekitar 40-an hingga 60-an berkeliaran di sekitar kaki lima bangunan.

Pelbagai telatah dapat disaksikan dalam meniti kepayahan kehidupan golongan ini antaranya sedang berbasikal mencari makanan, mengutip tin untuk dijual sehingga ke tahap menyelongkar tong sampah untuk mencari kotak, botol dan tin.

Tinjauan diteruskan untuk menjejak lokasi tempat tinggal gelandangan di beberapa bangunan tinggal bermula di sebuah bekas pasar raya terkenal sekitar 1990-an.

Penduduk setempat yang hanya mahu dikenali Din, 40-an mendakwa, dia kerap terserempak dengan kumpulan gelandangan yang mungkin turut tinggal di kawasan selain di sekitar stesen bas lama.

“Ada juga saya berbual dengan beberapa penduduk lain mendakwa kumpulan itu tinggal di situ seperti kawasan setinggan terutamanya pada waktu malam. Namun jumlahnya tidaklah begitu ramai kerana mereka sering berpindah.

“Rasa kecewa jugalah kerana sekitar 1990-an dulu kawasan ini memang jadi ‘port lejen’ setiap kali hujung minggu lebih-lebih lagi setiap kali musim perayaan tapi keadaannya sangat memalukan hari ini,” katanya.

Sementara itu, tinjauan MHI mendapati tiada nampak kelibat gelandangan berada di kawasan berkenaan dipercayai keluar ‘bekerja’.

LALUAN masuk parkir kenderaan bertingkat di sebuah pasar raya terkenal sekitar 1990-an yang dipagar rapi.

Laluan masuk kenderaan ke parkir tingkat atas bangunan juga telah dipagar dan dikunci rapi menyebabkan usaha kami terhenti di situ bagi mengelakkan timbulnya isu yang tidak diingini.

Tinjauan seterusnya di sekitar stesen bas lama berdekatan kawasan itu turut mendapati bangunan terbabit dan ditutup sepenuhnya.

Bagaimanapun, hasil tinjauan di sekitar bangunan kilang lama di Jalan Tun Ali mendapati wujud kesan-kesan bangunan usang itu dijadikan tempat tinggal gelandangan.

BANGUNAN kilang lama di Jalan Tun Ali yang dipercayai dijadikan tempat tinggal golongan gelandangan.

Ini berdasarkan kesan-kesan peninggalan bekas makanan dan minuman, puntung dan kotak rokok di kawasan tersorok dari penglihatan orang ramai malah.

Langkah kaki kami seterusnya ditemukan dengan beberapa lagi kumpulan gelandangan itu di kaki lima di Kompleks Bangunan MARA yang dilihat sedang bersantai.

Menurut pengawal keselamatan di sebuah kompleks bangunan itu yang dikenali Rahmat, kumpulan itu kebanyakan akan bermalam di kali lima sepanjang bangunan itu.

“Ini bukanlah situasi baharu, tapi mungkin disebabkan situasi sukar negara berdepan penularan pandemik COVID-19 sejak hampir dua tahun lalu menyebabkan bilangan gelandangan ini bertambah.

“Saya harap, pihak berwajib dapat segera menyantuni golongan ini kerana tindakan salah mereka itu jelas telah mencacatkan imej Melaka,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

2058
Kongsi :
Previous post PKP 3.0 disambung-PM
Next post Dua lelaki ‘kantoi’ bawa dadah bernilai lebih RM6 juta dalam kereta mewah, ditahan di SJR
Ubah saiz-+=