Populariti Fan Bingbing letak Melaka di peta pelancongan dunia

Masa Membaca:1 Minit, 9 Saat

AYER KEROH 20 Jun- Pelantikan selebriti dan ikon antarabangsa China, Fan Bingbing sebagai Duta Setiakawan Pelancongan Melaka (Melaka Friendship Ambassador Tourism) sempena Tahun Melawat Melaka 2024 (TMM2024) berjaya meletakkan Melaka dalam peta pelancongan dunia.

Ketua Menteri Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh berkata kejayaan itu terbukti apabila lebih 1 bilion carian nama ‘Fan Bingbing’ dan ‘Melaka’ direkodkan dalam sebuah aplikasi ‘WeChat China’ pada 14 dan 15 Jun lalu.

Katanya, tempias daripada populariti Fan Bingbing yang mempunyai sejumlah lebih 65 juta pengikut di pelbagai platform media sosial secara tidak langsung membantu mempromosikan Negeri Melaka sebagai destinasi pelancongan bertaraf dunia.

“Dalam tempoh singkat sahaja kehadiran Fan Bingbing ke Melaka, Duta Setiakawan Pelancongan Melaka ini berjaya mempromosikan tempat-tempat pelancongan terkenal di Melaka.

“Ini menyebabkan nama Fan Bingbing dan Melaka mencipta fenomena hingga dicari oleh kelompok peminatnya di China dan seluruh dunia,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Mengulas lanjut, Ab Rauf berkata pelantikan Fan Bingbing sebagai Duta Setiakawan Pelancongan Melaka pada Malam Muzikal Gita Citra sempena TMM2024, adalah sebagai langkah strategik untuk meningkatkan momentum promosi Melaka ke pentas dunia.

“Fan Bingbing pada awalnya datang ke Melaka untuk melancong dan atas sukarelanya sendiri beliau menawarkan diri mempromosi pelancongan negeri.

“Keputusan itu juga membabitkan hubungan diplomatik Malaysia-China dan Melaka.

“Kerajaan Negeri hanya menanggung kos logistik sahaja sepanjang keberadaan Fan Bingbing di Melaka,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

88
Kongsi :
Previous post Sungai Rambai jadi pusat penyelidikan, pembenihan hasil laut
Next post Semua syarikat di Melaka perlu laksana ESG – Khaidhirah
Ubah saiz-+=