Sorting by

×

Politeknik Melaka dipindahkan ke Kuala Sungai Baru

Masa Membaca:1 Minit, 35 Saat

KUALA LINGGI 26 Julai – Kampus Politeknik Melaka akan dipindahkan ke Kuala Sungai Baru, sebagai usaha membangunkan kawasan itu menjadi hab penyelidikan dan pendidikan di Negeri Melaka.

Menerusi perancangan itu Politeknik Melaka akan dibina bersebelahan Universiti Islam Melaka (UNIMEL) dengan menggunakan kaedah perkongsian fasiliti antara kedua-dua institusi.

Naib Canselor UNIMEL, Prof. Datuk Dr. Taib Dora berkata, apabila dilaksanakan kelak, kemudahan yang ada mampu menampung sehingga 7,000 pelajar dengan menawarkan pelbagai bidang pengajian termasuk sains dan teknologi.

“Kita akan menjalankan pengajian berkonsepkan perkongsian, contoh fasiliti yang ada di UNIMEL seperti perpustakaan, stadium, bilik kuliah dan sebagainya akan diguna pakai oleh pelajar Politeknik Melaka.

“Politeknik Melaka pula akan membina fasiliti lain seperti dewan besar, makmal dan sebagainya di tapak seluas 11 hektar bersebelahan UNIMEL yang juga akan diguna pakai oleh pelajar UNIMEL.

“Perkongsian ini banyak membawa manfaat dan kesan positif dalam bidang pengajian serta penyelidikan antara kedua institusi. Fasiliti yang berteknologi tinggi yang akan dimanfaatkan pelajar Politeknik Melaka dan UNIMEL,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menghadiri Majlis Pelancaran Isra Corner, Perasmian Institut Kajian Tuah (IKAT) dan Majlis Menandatangani Surat Niat Bersempena Sambutan Ulang Tajun ke-30 UNIMEL di kampus universiti itu, hari ini.

Majlis perasmian program berkenaan disempurnakan Ketua Menteri, Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh dan turut dihadiri Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Azhar Arshad; Pegawai Kewangan Negeri, Datuk Salhah Salleh serta Timbalan Exco Pendidikan, Pengajian Tinggi dan Hal Ehwal Agama negeri, Rosli Abdullah.

Mengulas lanjut, katanya projek pembinaan fasiliti Politeknik Melaka dijangka bermula November ini dan dijadualkan siap dalam tempoh kurang setahun.

“Setakat ini, kita berada pada peringkat akhir cadangan sebelum ia dimuktamadkan selepas kunjungan Ketua Setiausaha Kementerian Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Ir. Dr Zaini Ujang, baru-baru ini

“Kemudahan asrama sedia ada milik UNIMEL mampu menampung kemasukan sekitar 3,000 pelajar Politeknik Melaka. Asrama kita mampu menampung kapasiti 7,000 orang pelajar,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

27618
Kongsi :
Previous post IKAT buktikan Hang Tuah bawa kegemilangan kepada Melaka
Next post Pameran Hang Tuah masuk percuma bermula hari ini
Ubah saiz-+=