Polis wanita patah jari manis dilanggar remaja lari SJR
SUNGAI UDANG 9 Sept – Seorang anggota polis wanita patah jari manis tangan kiri akibat dilanggar remaja penunggang motosikal yang melarikan diri dari Sekatan Jalan Raya (SJR) di Lebuh Sungai Udang-Paya Rumput-Ayer Keroh (SPA), malam tadi.
Ketua Jabatan Siasatan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) negeri Superintendan Hasan Basri Yahya berkata, kejadian berlaku kira-kira jam 10 malam semasa Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Ibu Pejabat Polis Daerah Melaka Tengah yang dibantu anggota sukarelawan Simpanan Polis (SPDRM) mengadakan sekatan jalan raya raya bergerak di hadapan Stadium Hang Jebat, dekat sini.
Menurutnya, ketika pemeriksaan dilakukan tiba-tiba muncul motosikal ditunggangi remaja berusia 19 tahun itu yang memecut laju dan melanggar anggota polis simpanan wanita itu.
“Siasatan mendapati suspek remaja itu bekerja sebagai pencuci kereta dan ketika itu dia dalam perjalanan dari Durian Tunggal menuju ke Rembia.
“Dia berjaya diberkas selepas terjatuh akibat pelanggaran itu manakala anggota wanita berpangkat Lans Koperal berusia 27 tahun terbabit mendapatkan rawatan di Hospital selepas patah jari manis tangan kiri,” katanya dalam kenyataan di sini.
Hasan berkata, siasatan lanjut mendapati remaja terbabit memiliki lesen memandu, namun bertindak melarikan diri kerana memiliki waran tangkap berkait Seksyen 15 (1) (a) Akta Dadah Berbahaya 1952.
“Polis membuka dua kertas siasatan mengikut Seksyen 333 Kanun Keseksaan kerana dengan sengaja menyebabkan kecederaan kepada penjawat awam dan Seksyen 42 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 kerana menunggang motosikal secara melulu dan berbahaya.
“Remaja itu direman empat hari mulai hari ini (9 September) sehingga 12 September depan,” katanya.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.