Sorting by

×

Polis terima enam laporan berkaitan Kak Long 7E

Masa Membaca:1 Minit, 3 Saat

KUALA TERENGGANU, 22 Mac – Polis menerima enam laporan terhadap pemilik akaun Facebook Wan Nor Baizura atau lebih popular dengan gelaran Kak Long 7E di seluruh negara, setakat ini.

Ia susulan tindakannya yang didakwa menghina dan memperlekehkan nasib Orang Kurang Upaya (OKU) dengan memuat naik video yang meniru mimik muka golongan tersebut menerusi laman sosialnya.

Ketua Polis Terengganu Datuk Rohaimi Md Isa berkata dua daripada laporan itu diterima di Selangor manakala satu laporan masing-masing di Terengganu, Perak, Kuala Lumpur dan Johor.

Beliau berkata pihaknya telah menyerahkan kes tersebut kepada polis Selangor memandangkan kertas siasatan telah dibuka di negeri itu.

“Walaupun di Terengganu juga ada terima laporan berkaitan kes ini, kita tidak mahu ada pertindihan siasatan.

“Jadi, kita telah serahkan kes ini kepada polis Selangor dan akan beri kerjasama sekiranya diperlukan,” katanya kepada pemberita selepas Majlis Perjumpaan Ketua Polis Dengan Jawatankuasa Pembangunan Pengurusan Polis Wanita (JPPPW) Terengganu di sini hari ini.

Pada perjumpaan itu, Rohaimi turut menyampaikan sumbangan kepada 10 anggota dan pegawai polis wanita yang menghidap penyakit kronik.

Dalam pada itu, beliau berkata sembilan kes tatatertib melibatkan anggota dan pegawai polis wanita negeri ini direkodkan tahun lepas.

“Satu daripadanya melibatkan kes narkotik manakala lapan lagi adalah kesalahan tingkah laku,” katanya. – BERNAMA

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

638
Kongsi :
Previous post 10,000 banduan yang layak akan ditempatkan di industri, isi tenaga kerja
Next post 10 individu terlibat insiden konvoi kereta mewah halang lalu lintas akan dipanggil petang ini
Ubah saiz-+=