Polis Terengganu siasat agensi pelancongan gagal urus pakej haji
KUALA TERENGGANU, 11 Julai – Polis Terengganu kini sedang menjalankan siasatan ke atas sebuah agensi pelancongan yang didakwa gagal menguruskan pakej haji.
Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersil negeri Supt M. Zambri Mahmud berkata pihaknya menerima laporan berhubung kes itu pada 7 Julai lepas daripada seorang mangsa warga emas yang mendakwa ditipu agensi berkenaan.
“Satu kertas siasatan telah dibuka di bawah kesalahan Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Menurutnya siasatan awal mendapati, mangsa berusia 62 tahun yang juga merupakan seorang pesara telah membuat bayaran pertama sebanyak RM3,000 pada 2 Jun lepas.
“Bayaran penuh pada transaksi kedua sebanyak RM35,000 dibuat ke dalam akaun atas nama agensi pelancongan tersebut menjadikan jumlah kerugian sebanyak RM38,000,” katanya.
M. Zambri berkata pemilik agensi tersebut kemudiannya memberikan pelbagai alasan dan gagal menempah tiket penerbangan pengadu sehingga menyebabkan mangsa terkandas di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur pada 7 Julai lepas.
“Tangkapan ke atas suspek akan dibuat dalam masa terdekat selepas siasatan di kontinjen lain yang terlibat selesai.
“Orang ramai dinasihatkan supaya berhati-hati dalam pemilihan pakej haji dan memilih agensi pelancongan yang berkeupayaan untuk melaksanakannya,” katanya.
— BERNAMA
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.