POLIS TEMUI HEROIN DALAM POKET SELUAR PEMANDU REMPUH PAGAR TADIKA
PANTAI KUNDOR 30 Januari – Polis menemui sepeket dadah jenis heroin seberat 15.45 gram dalam poket seluar pemandu sebuah kereta Nissan Tiana yang terbabit kemalangan di Paya Luboh, malam tadi.
Dalam kejadian kira-kira jam 10.20 malam itu, kereta berkenaan dipercayai terbabas lalu merempuh pagar sebuah tadika KEMAS.
Ketua Polis Daerah Melaka Tengah Asisten Komisioner Christopher Patit berkata, dadah tersebut ditemui di poket sebelah kanan seluar jeans dipakai suspek ketika pemeriksaan tubuh badan dilakukan.
Susulan penemuan itu, ujar beliau, suspek iaitu lelaki berusia 55 tahun telah ditahan dan disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.
“Suspek bagaimanapun telah dibawa ke Hospital Melaka terlebih dahulu bagi pemeriksaan kesihatan susulan kemalangan dan didapati tidak mengalami sebarang kecederaan sebelum ditahan dan dibawa ke balai polis.
“Barang-barang kes telah dirampas dan dibawa ke Pejabat Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Daerah Melaka Tengah untuk tindakan lanjut,” katanya.
Sementara itu, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Negeri Melaka memaklumkan, pihaknya menerima panggilan pada jam 10.21 malam berhubung kemalangan tersebut.
Komander Operasi dari Balai Bomba dan Penyelamat Tangga Batu Pegawai Bomba Kanan I (KUP) Roslan Manas berkata, seramai lapan anggota digerakkan ke lokasi bagi operasi menyelamat.
Katanya, operasi tamat pada jam 11.19 malam dan mangsa telah diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan selanjutnya.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.