
POLIS TEMBAK MATI PENJENAYAH DI BUKIT MERTAJAM
Ketua Polis Pulau Pinang Datuk Hamzah Ahmad berkata dalam kejadian pada 2.20 pagi itu, pasukan Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Pulau Pinang yang menjalankan rondaan di kawasan berkenaan terserempak dengan sebuah motosikal jenis Yamaha Lagenda 115zr ditunggang lelaki dalam keadaan mencurigakan.
Beliau berkata anggota terlibat kemudian menghampiri motosikal berkenaan dan memperkenalkan diri sebagai polis lalu mengarahkannya supaya berhenti bagi tujuan pemeriksaan.
“Suspek sebaliknya terus memecut laju. Polis bertindak mengejar dan berjaya memintas, namun secara tiba-tiba lelaki berkenaan melepaskan beberapa das tembakan ke arah anggota polis.
“Bagi mempertahankan diri dan pasukan, polis telah berbalas tembakan dengan lelaki terbabit sebelum dia rebah,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Hamzah berkata pemeriksaan kemudiannya menemukan sepucuk pistol jenis Glock dan sejumlah dadah disyaki heroin bersama lelaki berkenaan.
Beliau berkata identiti suspek belum dapat dikenal pasti berikutan tiada sebarang pengenalan diri ditemui, namun lelaki itu disyaki warga asing dan berusia lingkungan 30-an.
Menurut Hamzah siasatan lanjut masih dijalankan mengikut Seksyen 307 Kanun Keseksaan, Seksyen 8 Akta Senjata Api (Penalti lebih Berat) 1971, Seksyen 8 (a) Akta Senjata 1960 dan Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952. – BERNAMA
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.