POLIS TEMBAK MATI ANGGOTA KUMPULAN SAMUN WARGA AFRIKA
PUCHONG 6 September – Seorang warga Afrika, dipercayai anggota kumpulan samun yang dikehendaki polis, mati dalam satu kejadian berbalas tembakan di sebuah apartment di Puchong Jaya di sini.
Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman Datuk Seri Mohd Shuhaily Mohd Zain berkata dalam kejadian pada 10.50 malam itu, polis telah menyerbu sebuah unit kediaman di tingkat sembilan Menara KLH untuk memberkas suspek, namun lelaki itu telah bertindak melepaskan dua das tembakan.
“Ketika serbuan dilakukan, suspek berseorangan dan tidak mahu memberikan kerjasama, sebaliknya melepaskan dua das tembakan ke arah anggota polis menggunakan senjata jenis revolver, menyebabkan polis terpaksa membalas tembakan suspek,” katanya dalam sidang media di tempat kejadian di sini malam tadi.
Beliau berkata hasil pemeriksaan di unit kediaman itu, polis menemukan dua bilah parang, nombor plat palsu dan sebuah beg mengandungi wang palsu.
Katanya suspek turut memiliki kad Suruhanjaya Tinggi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu Bagi Pelarian (UNHCR) yang dipercayai palsu.
“Umur, kewarganegaraan dan dokumen lain berkaitan suspek masih disiasat,” katanya.
Menurut Mohd Shuhaily lelaki itu merupakan anggota kumpulan samun bersenjata api warga Afrika yang aktif sejak 2018.
Seorang anggota kumpulan itu ditembak mati oleh polis dalam kejadian berbalas tembakan pada 20 Ogos lepas di Subang Jaya manakala tiga lagi anggota kumpulan itu ditangkap pada 25 Ogos ketika cuba menyamun warga Jepun di sebuah pusat beli-belah di ibu negara.
Polis kini mempergiat usaha memburu saki-baki anggota kumpulan itu, katanya. – BERNAMA
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.