Polis tahan lima lelaki disyaki terlibat judi dalam talian
JOHOR BAHRU, 29 September – Polis menahan lima lelaki yang dipercayai terlibat dalam kegiatan judi dalam talian dengan beroperasi di sebuah pusat panggilan di Pangsapuri Tepian Bayu, Marina Cove di sini petang semalam.
Ketua Polis Johor Datuk Kamarul Zaman Mamat berkata kesemuanya yang berusia lingkungan 20 hingga 40 tahun ditahan pada 6 petang oleh sepasukan anggota Jabatan Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Kontinjen Johor.
“Hasil pemeriksaan mendapati premis yang diserbu itu merupakan ‘call centre’ (pusat panggilan) yang menawarkan aktiviti perjudian dalam talian melalui dua laman web iaitu www.89rich8888.com dan www.tgr138.com.
“Sindiket ini mencatat kutipan harian hingga RM15,000 dengan menyasarkan pelanggan dari Singapura. Premis ini dipercayai beroperasi sejak Mac 2022,” katanya pada sidang media di sini hari ini.
Beliau berkata polis turut merampas empat komputer riba, 20 telefon bimbit, tiga modem Wi-Fi, dua kad akses dan wang tunai RM3,950.
Kamarul Zaman berkata kesemua lelaki berkenaan berperanan sebagai operator tambah nilai dan cuci kredit selain ditugaskan berinteraksi dengan pelanggan untuk mempromosikan judi dalam talian dan menerima gaji kira-kira RM3,000 sebulan serta komisen sebanyak 15 peratus.
Menurutnya semua transaksi dilakukan secara perbankan dalam talian menerusi beberapa akaun yang telah dikenal pasti dan semuanya melibatkan akaun bank di negara ini.
Katanya kesemua lelaki itu direman hingga Sabtu ini bagi siasatan mengikut Seksyen 4(1)(g) Akta Rumah Judi Terbuka 1953.
Sementara itu, Kamarul Zaman berkata pihaknya menahan 295 lelaki dan 13 wanita berusia 25 hingga 60 tahun yang disyaki terlibat dalam aktiviti dadah menerusi Op Tapis Khas di seluruh Johor bermula Isnin lepas hingga tengah malam tadi.
“Keseluruhannya seramai 410 individu diperiksa dalam operasi itu dengan 308 daripadanya ditahan atas pelbagai kesalahan iaitu kes bekalan (54), memiliki dadah (47) dan penagih (207).
“Seramai 30 individu akan diambil tindakan mengikut Seksyen 39C Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952 manakala 23 tokan telah diambil tindakan di bawah Seksyen 3(1) ADB (Langkah-langkah Pencegahan Khas) 1985. Turut ditangkap adalah 52 individu berstatus orang dikehendaki,” katanya.
Kamarul Zaman berkata polis turut merampas heroin seberat 924.26 gram (g), syabu (122.31 g), ganja (13.10g), pil Erimin (12 biji), pil yaba (tiga biji), pil psikotropik (1.67g), pil ekstasi (407 biji), serbuk ekstasi (140g) dan air ketum (2.65 liter).
“Kesemua dadah berkenaan dianggarkan bernilai RM40,903.50 dan jumlah dadah ini jika berterusan berada di pasaran, boleh digunakan seramai 5,711 penagih,” katanya.
Kamarul Zaman berkata sejak 1 Jan hingga semalam, Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Johor telah menahan 10,903 individu atas pelbagai kesalahan dadah selain merampas 2,729.67 kilogram dadah dianggar bernilai RM12.3 juta serta menyita harta sindiket dadah bernilai RM7.47 juta.
— BERNAMA
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.