Polis tahan lapan individu, rampas mercun bernilai lebih setengah juta ringgit
AYER KEROH 4 Feb – Tampal pelekat misi bantuan banjir di bahagian tepi badan lori antara taktik dilakukan sindiket mercun bagi mengaburi pihak berkuasa ketika melalui sekatan jalan raya (SJR) di negeri ini.
Taktik itu bagaimanapun terbongkar selepas polis menahan tujuh lelaki dan seorang wanita berusia antara 25 hingga 39 tahun dalam empat serbuan berasingan di sekitar Batu Berendam dan Ayer Keroh serta Jalan Tampin-Alor Gajah, di sini dan merampas mercun pelbagai jenis bernilai RM510,000.
Ketua Polis Melaka, Datuk Abdul Majid Mohd Ali berkata, semua suspek berkenaan ditahan dalam Op Limau yang dijalankan pihaknya sejak 1 Februari lalu bagi mencegah kegiatan jenayah di sekitar negeri ini.
Katanya, dalam tiga serbuan berasingan antara jam 7.30 malam hingga 9.45 malam Isnin lalu, pihaknya menahan lima lelaki berusia antara 25 hingga 29 tahun dan merampas mercun pelbagai jenis bernilai RM150,000 dalam premis di sekitar Batu Berendam dan Ayer Keroh.
“Susulan serbuan, pihaknya menjalankan satu lagi serbuan di sebuah premis di Jalan Tampin – Alor Gajah pada 6 pagi Selasa lalu dan menahan dua lelaki berusia 34 dan 39 tahun serta seorang wanita warga Thailand berusia 29 tahun, dipercayai isteri salah seorang suspek.
“Dalam serbuan itu, polis menemukan mercun pelbagai jenis dianggarkan bernilai RM360,000.
“Berdasarkan kedua-dua serbuan itu, nilai keseluruhan rampasan bernilai RM510,000 dan kita turut menyita sebuah lori dipercayai digunakan suspek untuk mengangkut mercun berkenaan,” katanya pada sidang media di Mes Pegawai Kanan Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) negeri, di sini hari ini.
Mengulas lanjut, katanya sindiket itu dipercayai aktif mempromosikan dan menjual mercun menerusi WhatsApp dan mencari pelanggan secara rambang sejak dua bulan lalu.
“Menariknya kes ini, sindiket memperdaya pihak berkuasa ketika melalui SJR dengan melekatkan pelekat tertera tulisan misi bantuan banjir bagi tujuan melepasi sekatan itu.
“Kita percaya bekalan diperolehi dari negara jiran dan sindiket berkenaan melakukan aktiviti rentas negeri bagi menjual mercun tersebut,” katanya.
Beliau berkata, semua suspek direman empat hari sehingga Sabtu ini bagi membantu siasatan dan kes disiasat mengikut Seksyen 8 Akta Bahan Letupan 1957, yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum tujuh tahun atau denda RM10,000 atau kedua-duanya jika sabit kesalahan.