Polis sahkan penemuan objek dipercayai bahagian roket
Ketua Polis Daerah Miri ACP Alexson Naga Chabu berkata pihaknya menerima laporan mengenai penemuan objek itu semalam (Ahad) dan menerusi tinjauan yang dilakukan, serpihan logam itu didapati terbenam kurang satu meter di dalam tanah.
Bagaimanapun, pihaknya tidak dapat mengesahkan asal usul logam tersebut dan telah meminta bantuan Pasukan Khas Bahan Kimia Berbahaya (Hazmat) Jabatan Bomba dan Penyelamat serta Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) untuk menganalisis tempat tersebut.
“Kita nasihati orang ramai agar tidak berada di kawasan berhampiran tempat kejadian kerana dibimbangi logam tersebut mengandungi bahan radioaktif yang boleh memudaratkan kesihatan,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Beliau berkata kawasan itu dipantau rapi untuk memastikan tiada kejadian tidak diingini berlaku.
Katanya orang ramai dinasihatkan untuk tidak membuat spekulasi atau menyebarkan berita palsu kerana ia boleh menimbulkan kegusaran dalam masyarakat dan disarankan menghubungi balai polis berdekatan untuk menyalurkan maklumat atau mendapatkan kepastian mengenai kejadian itu.
Semalam, media melaporkan terdapat serpihan roket Long March 5B milik China dikesan melintasi ruang udara Malaysia di beberapa kawasan termasuk sekitar Sarawak.
MOSTI dalam kenyataan memaklumkan pemantauan secara berterusan pihaknya menerusi Agensi Angkasa Malaysia (MYSA) serta kenyataan oleh Agensi Angkasa China mendapati kemasukan semula serpihan roket berkenaan ke ruang udara Bumi dikesan jam 12.55 tengah malam Sabtu waktu Malaysia.
Menurut MOSTI sisa serpihan itu direkodkan jatuh di sekitar Laut Sulu iaitu kawasan antara latitud 9.1 darjah Utara dan longitud 119.0 darjah Timur. – BERNAMA
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.