
POLIS RAMPAS SYABU, PIL MDMA BERNILAI LEBIH RM4 JUTA DI SUNGAI PETANI
Ketua Polis Kedah Datuk Fisol Salleh berkata penganggur berusia 46 tahun itu ditahan di kawasan parkir pusat perniagaan berkenaan kira-kira pukul 7 pagi oleh sepasukan anggota dari Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuala Muda dan Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kedah.
“Hasil pemeriksaan lanjut terhadap sebuah kereta jenis Honda Civic kemudiannya telah membawa kepada penemuan empat beg kanvas yang mengandungi lebih lima kilogram (kg) dadah jenis syabu dan hampir 15kg pil MDMA yang dianggarkan bernilai lebih RM4 juta.
“Suspek yang mempunyai satu rekod jenayah lampau ditahan reman sehingga 23 Feb dan siasatan dijalankan di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952,” katanya pada sidang media di sini, hari ini.
Beliau berkata suspek yang bertindak sebagai ‘penghantar’ itu dipercayai mengambil bekalan dadah berkenaan dari negeri di selatan tanah air sebelum menyerahkan kepada orang lain untuk dijual.
“Sekiranya syabu yang dirampas ini terlepas di pasaran, ia boleh digunakan oleh 255,000 penagih manakala pil MDMA itu boleh digunakan oleh 28,000 penagih. Jadi kita mohon masyarakat di luar sana untuk menyalurkan sebarang maklumat berkaitan aktiviti berkaitan dadah ini supaya polis dapat mengekangnya,” katanya.
Sementara itu ketika diminta mengulas mengenai kenyataan Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail bahawa Kedah antara negeri yang merekodkan kes penyalahgunaan dadah tertinggi, Fisol berkata pihaknya tidak menafikan perkara itu.
“Saya setuju apa yang beliau (menteri) katakan, Kedah adalah antara negeri yang tertinggi dalam penyalahgunaan dadah. Kita ambil ia sebagai motivasi.. pada tahun 2025 (penyalahgunaan dadah) itu akan menjadi tumpuan utama polis Kedah, dan banyak perancangan telah dan akan kita lakukan untuk perangi dadah,” katanya.
Saifuddin Nasution sebelum ini dilaporkan berkata 192,857 individu terbabit penyalahgunaan dadah tahun lepas berbanding 145,526 pada 2023 dan 137,176 pada 2022; dan negeri tertinggi mencatat penyalahgunaan dadah adalah Kelantan, diikuti Terengganu, Perlis dan Kedah. – BERNAMA
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.