Polis rampas ganja hampir RM500,000 di Yan
YAN, 2 Januari – Polis merampas dadah jenis ganja dengan anggaran bernilai hampir RM500,000, yang ditemukan terapung di satu tali air di Kampung Makau di sini pada Sabtu lepas.
Ketua Polis Daerah Yan DSP Shahnaz Akhtar Haji berkata sebanyak 158 ketulan mampat ganja seberat 180.17 kilogram itu, ditemui terapung oleh penduduk yang melalui kawasan berkenaan pada pukul 9.35 pagi.
“Pihak polis menerima panggilan orang awam berhubung penemuan dadah yang dibalut plastik lutsinar dan foil berwarna emas terapung di sekitar kawasan tali air itu.
“Pemeriksaan lanjut mendapati dadah tersebut diletakkan di dalam guni, namun terkoyak menyebabkan ia terapung di permukaan air,” katanya pada satu sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Yan sini hari ini.
Shahnaz berkata siasatan awal mendapati dipercayai kegiatan sindiket itu dilakukan pada awal pagi, bagi mengelak daripada dikesan penduduk dan pihak berkuasa manakala dadah yang dirampas itu disyaki untuk pasaran luar dari negeri Kedah.
“Setakat ini tiada tangkapan dilakukan, namun pihak kami akan terus menjalankan siasatan bagi mengenal pasti dalang di sebalik penemuan dadah berkenaan. Kemungkinan juga lokasi tersebut dijadikan sebagai transit sebelum ia dibawa ke tempat lain,” katanya.
Beliau berkata pihaknya akan terus menjalankan kerjasama dengan melibatkan penyertaan masyarakat setempat dalam usaha memastikan aktiviti penyeludupan, pengedaran dan penagihan dadah dapat dikekang sebaik mungkin.
— BERNAMA
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.