Sorting by

×

Polis rampas 79 mesin lombong bitcoin, tahan dua lelaki

Masa Membaca:1 Minit, 15 Saat

ALOR SETAR 23 Mac – Polis menahan dua lelaki dan merampas 79 unit mesin melombong bitcoin yang dipercayai dicuri, dalam operasi di Karangan, Sungai Kob dekat Kulim, kelmarin.

Ketua Polis Daerah Kulim Superintendan Azhar Hashim berkata, kedua-dua suspek yang juga adik-beradik berusia 21 dan 27 tahun berkenaan menaiki sebuah lori membawa mesin tersebut, dipercayai dalam perjalanan menghantar mesin berkenaan ke Sungai Petani.

“Anggota polis daripada Bahagian Siasatan Jenayah, Ibu Pejabat Polis Daerah Kulim yang melakukan rondaan di kawasan tersebut telah terserempak dengan sebuah lori yang dalam keadaaan mencurigakan pada 5 petang Ahad.

“Selepas menahan kenderaan itu, pemeriksaan polis menemukan 79 unit mesin melombong bitcoin dan kedua-dua suspek gagal memberi keterangan mengenai semua mesin itu,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Menurutnya, kedua-dua suspek mendakwa menerima arahan daripada seorang individu untuk mengambil barangan itu dari sebuah premis di Sungai Kob bagi dihantar ke satu lokasi di Sungai Petani.

“Bagaimanapun, kedua-dua suspek gagal mengemukakan maklumat berkaitan pemilikan mesin bitcoin itu atau sebarang dokumen berkaitan dan polis mengesyaki mesin itu yang bernilai RM3,000 seunit telah dicuri dan ingin dijual,” katanya.

Beliau berkata semakan mendapati kedua-dua suspek tidak mempunyai rekod jenayah dan mereka direman sehari sebelum dibebaskan dengan jaminan polis dan kes disiasat mengikut Seksyen 29(1) Akta Kesalahan Kecil 1955.

Dalam pada itu, Azhar menggesa mereka yang mempunyai maklumat berkaitan aktiviti melombong bitcoin menyalurkan maklumat kepada polis atau Tenaga Nasional Berhad berikutan penggunaan mesin tersebut biasanya membabitkan pencurian elektrik.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

1004
Kongsi :
Previous post Dua parah, tiga cedera ringan dalam kemalangan tiga kenderaan
Next post Lebih 450,000 individu terima suntikan vaksin COVID-19 setakat 22 Mac
Ubah saiz-+=