POLIS RAMPAS 44 EKOR KAMBING SELUDUP DARI THAILAND BERNILAI RM55,000
KOTA BHARU 22 Oktober – Polis telah menumpaskan kegiatan penyeludupan sebanyak 44 ekor kambing yang dianggarkan bernilai RM55,000 di Kampung Repek, Pasir Mas, semalam.
Komander Briged Tenggara Pasukan Gerakan Am Datuk Nik Ros Azhan Nik Ab Hamid berkata rampasan dilakukan selepas anggotanya menahan sebuah lori jenis Daihatsu yang dinaiki oleh dua lelaki berusia 20 dan 55 tahun semasa menjalankan Op Taring Wawasan Kelantan pada pukul 12.30 tengah malam.
Beliau berkata hasil pemeriksaan mendapati sebanyak 44 ekor kambing seberat 2,200 kilogram tanpa dokumen yang sah.
“Kesemua haiwan tersebut disyaki diseludup dari Thailand untuk pasaran tempatan dan telah diserahkan ke Komtak Jeram Perdah untuk tindakan selanjutnya di bawah Seksyen 36(1) Akta Binatang 1953,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Sementara itu, polis telah menumpaskan kegiatan penyeludupan produk kosmetik di pengkalan haram Syed Meor, dekat Bukit Lata, Pasir Mas pada Ahad lepas.
Rampasan dilakukan pada pukul 11.30 pagi selepas pasukannya membuat pemeriksaan ke atas sebuah stor dan menemukan 1,800 unit sabun kosmetik tanpa sebarang dokumen, yang dipercayai untuk pasaran tempatan.
Menurutnya, kesemua barang rampasan dianggarkan bernilai RM75,840 dan kes ini disiasat di bawah Seksyen 7(1)(E) Peraturan Kawalan Dadah dan Kosmetik 1984. Hasil rampasan telah diserahkan ke Komtak Jeram Perdah untuk tindakan selanjutnya.
— BERNAMA
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.