
POLIS PENGIRING CEDERA KEMALANGAN KETIKA BERTUGAS
ALOR GAJAH, 14 Mac – Seorang anggota polis trafik cedera selepas terbabit dalam kemalangan semasa mengiringi kenderaan Yang di-Pertua Negeri Melaka Tun Seri Setia Dr. Mohd Ali Mohd Rustam di Bulatan Seri Bayan, Durian Tunggal, di sini malam tadi.
Ketua Polis Daerah Alor Gajah Supt Ashari Abu Samah berkata kejadian berlaku kira-kira 10.45 malam ketika Sarjan Mohd Tarmizi Manap, 50, yang menunggang motosikal berkuasa tinggi dalam perjalanan dari Durian Tunggal menghala ke Lapangan Terbang Antarabangsa Melaka (LTAM) Batu Berendam.
“Berdasarkan siasatan awal, kemalangan dipercayai berlaku apabila sebuah kereta jenis Proton S70 yang dipandu lelaki berusia 51 tahun tiba-tiba mengubah laluan dari laluan kiri bulatan membelok masuk ke kanan.
“Kenderaan itu kemudian terlanggar motosikal ditunggangi mangsa menyebabkannya hilang kawalan dan melanggar kereta Perodua Myvi dipandu lelaki berusia 25 tahun dari arah bertentangan,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau berkata Mohd Tarmizi yang mengalami luka pada tangan dan kaki dihantar ke Hospital Melaka manakala dua pemandu kereta itu tidak mengalami sebarang kecederaan.
Kemalangan berkenaan katanya sedang disiasat lanjut mengikut Seksyen 43(1) Akta Pengangkutan Jalan Raya 1987. – BERNAMA
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.