Polis nafi tidak saman individu tidak pakai pelitup muka semasa Ramadan, Syawal
KUALA LUMPUR, 22 April – Polis menafikan pihaknya tidak menyaman individu yang tidak memakai pelitup muka sepanjang Ramadan dan semasa sambutan Aidilfitri nanti.
Pengarah Pengurusan Bukit Aman Datuk Zaini Jass ketika dihubungi Bernama sebaliknya berkata penguatkuasaan tetap dilaksanakan ke atas individu yang melanggar prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan termasuk kesalahan tidak memakai pelitup muka.
Sementara itu, Ketua Komunikasi Korporat PDRMACP A. Skandaguru menegaskan bahawa SOP fasa peralihan ke endemik yang bermula 1 April lalu masih berkuat kuasa dan pemakaian pelitup muka diwajibkan di tempat awam.
“Oleh yang demikian, PDRM masih meneruskan tindakan kompaun jika terdapat mana-mana pihak yang melanggar SOP berkenaan di bawah peruntukan Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 (Akta 342),” katanya dalam kenyataan semalam.
Hari ini tular di aplikasi WhatsApp satu edaran dengan kepala surat bertarikh 20 April meminta pegawai kanan dan pegawai rendah polis mengambil maklum SOP terkini yang dikeluarkan Majlis Keselamatan Negara sempena Ramadan dan sambutan Aidilfitri.
Antara makluman dalam edaran itu adalah tiada lagi saman akan dikeluarkan atas kesalahan tidak memakai pelitup muka, bagaimanapun pasukan pemantau hendaklah memberi nasihat agar orang ramai memakai pelitup muka. – BERNAMA
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.