Sorting by

×

Polis nafi punca kemalangan akibat anggota trafik iring orang kenamaan

Masa Membaca:1 Minit, 49 Saat

AYER KEROH 28 Feb – Polis menafikan kemalangan yang berlaku di persimpangan lampu isyarat di Jalan Krubong berhampiran Cheng akibat daripada tindakan polis mengiringi orang kenamaan.

Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) negeri, Superintendan Hasan Basri Yahya berkata, pihaknya mengambil maklum terhadap satu hantaran di laman Facebook oleh seorang pemilik akaun semalam yang mendakwa kereta dipandunya dirempuh sebuah motosikal dari belakang ketika melalui persimpangan lampu isyarat Krubong-Cheng pada jam 9.40 pagi Jumaat lalu.

Katanya, pemilik akaun tersebut mendakwa kemalangan itu berpunca daripada tindakan polis trafik yang sedang mengiringi orang kenamaan di persimpangan lampu isyarat itu sehingga mengakibatkan dia memberhentikan kereta secara mengejut sebelum dirempuh.

“JSPT mengambil maklum hantaran tersebut dan menjalankan siasatan berdasarkan laporan dibuat oleh pengadu mengikut Rule 10 LN 166/59.

“Bagaimanapun sehingga kini, penunggang motosikal yang terbabit kemalangan itu belum membuat laporan polis dan usaha mengesan penunggang berkenaan masih dijalankan,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Menurut hantaran berkenaan dalam grup Info Roadblock Seluruh Malaysia, pemilik akaun berkenaan mendakwa jalan yang dilalui dihalang ketika lampu isyarat berwarna hijau.

Dia yang terkejut dengan tindakan itu bagaimanapun sempat memberhentikan kereta namun penunggang di belakang keretanya tidak sempat memberhentikan motosikal dan merempuh keretanya.

“Pihak tersebut hanya melihat dan berlalu pergi, begitulah cerita rakyat marhaen. Memberi ruang jalan kepada mereka yang besar,” tulisnya.

Menurut Hasan Basri, siasatan awal mendapati tiada sebarang tugas mengiringi orang kenamaan sebagaimana didakwa berlaku ketika kemalangan itu.

Jelasnya, sebaliknya anggota trafik berkenaan sedang membuat kawalan lalu lintas sempena perayaan Masimagam di sebuah kuil di Jalan Tampoi.

“Ketika kejadian berlaku, anggota trafik berkenaan sedang melancarkan pergerakan kenderaan dengan memberi laluan kepada lori yang membawa patung berhala dari arah bandar Melaka menghala ke Jalan Krubong.

“Tindakan itu selaras mengikut Seksyen 21(1)(a) Akta Polis 1967 iaitu mengatur, mengawal dan melencongkan mana-mana lalu lintas serta selaras dengan arahan Pengarah JSPT bagi mengawal lalu lintas jika berlaku kesesakan,” katanya.

Hasan Basri berkata, susulan kejadian itu, pihaknya telah membuat laporan polis bagi menafikan isu viral terbabit dan siasatan dijalankan mengikut Seksyen 223 Akta Telekomunikasi dan Seksyen 223 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 dan Seksyen 505 Kanun Keseksaan terhadap pemilik akaun tersebut.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

1205
Kongsi :
Previous post Tiga hari, dua tan sampah
Next post Kapal persiaran hampir karam di Langkawi, empat kru selamat
Ubah saiz-+=