Polis nafi gari individu tidak pakai pelitup muka

Masa Membaca:1 Minit, 15 Saat

AYER KEROH 23 Okt. – Polis Melaka menafikan penularan berita di media sosial yang mengaitkan anggota polis bertindak menggari dan menahan individu tidak memakai pelitup muka seperti didakwa baru-baru ini.

Ketua Polis Melaka Datuk Wira Mat Kassim Karim menegaskan berita yang ditularkan itu adalah palsu dan tidak berasas.

Jelasnya, antara penularan berita yang tidak benar ialah dakwaan seorang peniaga lelaki berbangsa Cina digari dan dibawa ke balai polis di atas kesalahan tidak memakai pelitup muka di kedainya.

“Dalam Op COVID-19 yang dijalankan di sebuah kedai bateri di Bukit Baru, anggota bertugas telah mendapati pemilik kedai dan seorang pelanggan tidak memakai pelitup muka.

“Kedua-dua individu ini telah diarahkan ke balai polis berhampiran untuk tindakan selanjutnya dan kedua-duanya telah hadir ke balai polis menaiki kenderaan sendiri.

“Justeru saya ingin menegaskan dakwaan peniaga tersebut digari dan dibawa ke balai adalah tidak benar sama sekali,” katanya dalam satu kenyataan.

Selain itu, beliau turut menepis dakwaan seorang wanita berumur 50 tahun dibawa ke balai kerana tidak memakai pelitup muka ketika menyidai selimut serta seorang warga emas bersama dua cucu dikompaun kerana tidak memakai pelitup muka di dalam kereta ketika membeli makanan di premis pandu lalu.

“Saya ingin menasihatkan semua pihak agar tidak bertindak menularkan berita yang tidak sahih kerana ia akan memberi tanggapan negatif kepada organisasi ini dan mendatangkan kegusaran kepada orang ramai.

“Saya berharap orang ramai terus memberikan kerjasama kepada pihak penguatkuasa dengan mematuhi sepenuhnya prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan dalam usaha membantu memutuskan rantaian jangkitan wabak COVID-19,” katanya lagi.

Views:

844
Kongsi :
Previous post PM menghadap Agong di Istana Abdulaziz
Next post PKPD Penjara Pokok Sena dilanjutkan hingga 7 November
Ubah saiz-+=