Polis Melaka wujudkan pusat panggilan sehenti COVID-19

Masa Membaca:1 Minit, 31 Saat

AYER KEROH 11 Mei. – Polis Melaka mewujudkan pusat panggilan sehenti COVID-19 bagi membantu untuk menangani kekeliruan masyarakat berhubung perubahan prosedur operasi standard (SOP) dari semasa ke semasa.

Timbalan Ketua Polis negeri Senior Asisten Komisioner Razali Abu Samah berkata, pihaknya akan melaksanakan penguatkuasaan penuh (total enforcement) bagi menjawab segala persoalan yang menjadi tanda tanya dalam kalangan masyarakat mengenai SOP terbaharu ditetapkan.

Katanya, pusat panggilan itu beroperasi dalam tempoh 24 jam dengan menempatkan pegawai bermula semalam sehingga 16 Mei ini.

“Kita letakkan seorang pegawai yang menjawab (perubahan) SOP dari semasa ke semasa dalam tempoh total ‘enforcement’ itu, yang boleh dihubungi di talian 06-2854 222 dengan sambungan talian 4156.

“Dalam keadaan peperangan COVID-19, masyarakat perlu tahu apa hak-hak mereka, seperti tidak tahu apa kedudukan mereka apabila pihak kerajaan mengeluarkan SOP terbaharu,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Melaka di sini.

Mengulas lanjut, Razali berkata, dalam tempoh penguatkuasaan itu, pihaknya turut menempatkan pegawai khas yang akan mengeluarkan kompaun bagi menjimatkan masa masyarakat.

“Sebelum ini mereka yang bakal dikenakan kompaun perlu menghadiri ke balai dan menunggu pegawai penyiasat namun hari ini apabila terdapat sesuatu perlanggaran SOP berlaku, pegawai kompaun itu akan terus ke lokasi.

“Di samping itu, kita turut menyediakan senarai SOP terbaharu di semua SJR dan pasukan pematuhan SJR mobile bagi memudahkan orang ramai merujuk kepada SOP terbaharu ditetapkan kerajaan.

“Mungkin ada dalam kalangan masyarakat yang ragu-ragu mahupun mempersoalkan SOP terbaharu, jadi orang ramai boleh rujuk SOP disediakan di lokasi tersebut,” katanya.

Menurut beliau, setakat hari ini polis Melaka menjalankan 10 SJR tetap termasuk di sempadan tiga daerah bagi memantau pergerakan orang ramai dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan 3.0.

Katanya, secara keseluruhannya seramai 312 pegawai dan anggota ditempatkan dalam pasukan pematuhan COVID-19 dalam tempoh penguatkuasaan penuh itu.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

383
Kongsi :
Previous post COVID: Pahang dijangka catat 700 kes seminggu pada Jun jika tidak patuh SOP
Next post Kembara Ramadan INSWA santuni penggiat seni hilang sumber pendapatan
Ubah saiz-+=