Sorting by

×

Polis Melaka tidak komporomi pegawai dan anggota subahat Geng Nicky

Masa Membaca:1 Minit, 39 Saat

AYER KEROH 28 April. – Polis Melaka tidak akan bertolak ansur terhadap mana-mana pegawai dan anggotanya yang menjadi tali barut kumpulan jenayah terancang Geng Nicky.

Ketua Polis Melaka Datuk Abdul Majid Mohd Ali berkata, berikutan itu pihaknya akan memberi sepenuh kerjasama dengan polis kontinjen Johor bagi menyalurkan maklumat mengesan mana-mana pegawai dan anggota di negeri ini yang disyaki terlibat dalam kumpulan berkenaan.

ABDUL Majid… tidak akan bertolak ansur terhadap mana-mana pegawai dan anggotanya yang menjadi tali barut kumpulan jenayah terancang Geng Nicky.

“Saya tidak akan melindungi mana-mana pegawai dan anggota yang bertugas di negeri ini sama ada terlibat dengan sindiket jenayah terancang atau jenayah rentas sempadan.

“Malah, saya akan memberi sepenuh kerjasama kepada polis Kontinjen Johor dan Polis Diraja Malaysia (PDRM) terhadap apa juga siasatan yang melibatkan pegawai dan anggota polis kontinjen ini,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas mengagihkan bubur lambuk kepada orang ramai sempena Sambutan Hari Polis ke-215 di Pasaraya Mydin Ayer Keroh, di sini hari ini.

Mengulas lanjut, beliau mengesahkan seorang pegawai polis berpangkat Deputi Superintendan berusia 43 tahun yang bertugas di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Melaka Tengah ditahan berkaitan kes berkenaan.

Bagaimanapun, katanya beliau tidak mahu mengulas lanjut mengenai perkara itu berikutan siasatan kes berkenaan dikendalikan sepenuhnya oleh polis kontinjen Johor.

“Mengenai perkembangan siasatan dan apa juga yang berlaku seterusnya, saya tidak boleh ulas kerana siasatan itu di bawah bidang kuasa polis Johor,” katanya.

Semalam, Ketua Polis Johor Datuk Ayob Khan Mydin Pitchay mendedahkan seramai 12 pegawai kanan polis dan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) yang dipercayai menjadi tali barut kumpulan jenayah terancang itu ditahan dalam beberapa siri serbuan Op Pelican 3.0.

Ayob dilaporkan berkata, pegawai dan anggota berusia 36 hingga 49 tahun itu ditahan oleh sepasukan polis dari Jabatan Siasatan Jenayah Komersil Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Johor dalam operasi yang dijalankan di sekitar Kuala Lumpur, Selangor, Melaka dan Negeri Sembilan.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

518
Kongsi :
Previous post Adakan program keluarga angkat jika pelajar tidak dapat pulang beraya – KUIM
Next post Astrazeneca diberi hanya di PPV Khas, orang ramai boleh daftar secara sukarela
Ubah saiz-+=