Polis Melaka tahan 746 individu edar dadah tahun ini
AYER KEROH 9 Disember – Tangkapan membabitkan kes pengedaran dadah di negeri ini meningkat hampir 20 peratus dalam tempoh Januari hingga November tahun ini.
Ketua Polis Melaka, Datuk Zainol Samah berkata, dalam tempoh itu bagi tahun, seramai 746 orang ditahan terbabit dalam kes pengedaran dadah manakala seramai 622 orang ditahan dalam tempoh sama tahun lalu.
Katanya, antara individu ditahan membabitkan kes yang disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952; Seksyen 39A(2) Akta Dadah Berbahaya 1952; Seksyen 39A(1) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan Seksyen 6B Akta Dadah Berbahaya 1952.
“Perbandingan itu menunjukkan berlaku peningkatan kes serbuan dan tangkapan sebanyak 19.94 peratus.
“Dalam tempoh Januari hingga November lalu, pihak polis menjalankan siasatan terhadap 522 kes pengedaran dadah manakala 393 kes dalam tempoh sama pada tahun lalu, menjadikan jumlah kes meningkat 32.8 peratus,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas menghadiri Perhimpunan Bulanan Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Melaka di Padang Kawad IPK Melaka, di sini, hari ini.
Mengulas lanjut, antara kejayaan terbesar kontinjen itu dalam memerangi aktiviti pengedaran dadah adalah membabitkan serbuan di Pulau Melaka 22 November lalu dengan rampasan dadah jenis syabu dianggarkan bernilai lebih RM800,000.
Katanya, susulan kejayaan itu pihaknya menganugerahkan sijil penghargaan kepada tiga pegawai dan anggota dari Pasukan Gerakan Am (PGA) Batalion 6, Johor dan dua anggota dari Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) IPK Melaka atas tindakan pantas menumpaskan sindiket pengedaran dadah itu.
Dalam pada itu, Zainol berkata, bagi kes memiliki pelbagai jenis dadah, sebanyak 1,432 kes membabitkan tangkapan seramai 1,855 individu dalam tempoh sama tahun ini manakala 777 kes dengan tangkapan 1,035 orang dalam tempoh sama tahun lalu.
“Jumlah itu menjadikan peratusan membabitkan kes memiliki dadah meningkat 84.3 peratus manakala jumlah tangkapan meningkat 79.2 peratus,” katanya.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.