Polis Melaka siasat lima VIP, artis langgar SOP PKP
AYER KEROH 24 Mei – Polis Melaka membuka lima kertas siasatan berkaitan pelanggaran prosedur operasi standard (SOP) Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 3.0 termasuk membabitkan ahli politik dan artis di negeri ini.
Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Melaka Asisten Komisioner Mohd Sukri Kaman berkata, lima kesalahan itu adalah antara 18 kertas siasatan dibuka berkaitan kesalahan-kesalahan yang melibatkan Peraturan-Peraturan di bawah Akta 342 (Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988) dalam tempoh 1 Januari lalu sehingga ke hari ini.
“Siasatan ini dijalankan secara menyeluruh yang melibatkan mana-mana individu termasuk lima kertas siasatan ke atas golongan selebriti dan juga orang kenamaan (VIP) membabitkan artis dan ahli politik.
“Siasatan dilakukan secara menyeluruh tanpa mengira kedudukan dan menolak sama sekali dakwaan yang menyatakan wujudnya ‘double standard’ dalam penguatkuasaan,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Mengulas lanjut, Sukri berkata orang ramai diminta terus menyalurkan maklumat berkaitan perlanggaran SOP PKP melalui talian 06-2854156 atau Hotline 06-2851999 atau WhatsApp 012-2244999
“Orang ramai termasuk termasuk golongan kenamaan dinasihatkan sentiasa mematuhi SOP PKP sepanjang masa.
“Kegagalan berbuat demikian akan diambil tindakan di bawah undang-undang yang sedang berkuatkuasa,” katanya.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.