
Polis Melaka periksa setiap individu kuarantin kendiri, pastikan tiada pelanggaran SOP.
AYER KEROH 8 Feb. – Bagi mengekang penularan COVID-19, Polis Melaka menubuhkan pasukan khas bagi menjalankan pemantauan terhadap individu yang diarahkan menjalankan kuarantin kendiri di rumah.
Ketua Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) negeri, Asisten Komisioner Mohd Sukri Kaman ketika dihubungi Melaka Hari Ini (MHI) berkata, pasukan itu dianggotai 31 pegawai dan anggota JSJ Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Melaka.
Katanya, pasukan itu menjalankan pemeriksaan dan pemantaun terhadap individu yang diarahkan menjalani kuarantin kendiri di rumah berdasarkan data diperoleh daripada Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).

“Sepanjang penugasan bermula Jumaat lalu hingga semalam, sebanyak 133 premis kediaman membabitkan 330 individu diperiksa di daerah Alor Gajah, Melaka Tengah dan Jasin.
“Pemeriksaan yang dijalankan mendapati semua individu berkenaan menjalani pengasingan diri di rumah dan tiada pelanggaran SOP,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.
Mengulas lanjut, pihaknya akan menjalankan pemantauan dari semasa ke semasa secara berterusan di setiap kediaman individu yang menjalankan kuarantin itu bagi memastikan pematuhan SOP sekali gus memutuskan rantaian pandemik COVID-19.