Sorting by

×

POLIS MELAKA LAKSANA PENGUATKUASAAN MENYELURUH, PANTAU KESELAMATAN SEPANJANG OP SELAMAT 24

Masa Membaca:1 Minit, 18 Saat

PENGKALAN BATU 28 Mac – Penguatkuasaan secara menyeluruh dan pemantauan keselamatan antara fokus utama Polis Kontinjen Melaka sepanjang Op Selamat 24 yang akan bermula pada 29 Mac hingga 3 April ini.

Ketua Polis Melaka Datuk Dzulkhairi Mukhtar berkata, kerjasama semua pihak amat dihargai sepanjang enam hari Op Selamat 24 berlangsung dalam usaha mengurangkan kadar kemalangan jalan raya termasuk jenayah pecah rumah.

“Operasi ini masih berasaskan penguatkuasaan menyeluruh dan perkhidmatan penghantaran seperti sebelum ini dalam usaha membudayakan pematuhan undang-undang serta peraturan lalu lintas.

“Dalam usaha mengurangkan kadar kemalangan terutamanya kemalangan maut Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) akan meningkatkan rondaan, pemantauan, ‘omnipresence’ dan penguatkuasaan di lokasi dikenal pasti.

“Malah turut diberi perhatian adalah usaha membendung kes pecah rumah menerusi pemantauan serta rondaan secara berkala di taman-taman perumahan,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas Peluncuran Op Selamat 24 Sempena Sambutan Hari Raya Aidilfitri 2025 Peringkat Kontinjen Melaka, di Bazar Ramadan Bukit Peringgit, di sini, semalam.

Menurut Dzulkhairi, sepanjang Op Selamat 24 ini juga JSPT menumpukan kepada enam kesalahan utama lalu lintas yang sering dilakukan oleh pengguna jalan raya.

“Enam kesalahan itu adalah memotong di garisan berkembar, memotong barisan, memandu menggunakan alat telekomunikasi, memandu melebihi had laju ditetapkan, memandu di lorong kecemasan dan gagal mematuhi lampu isyarat.

“Selain itu, Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) juga akan mengeluarkan larangan pergerakan bagi kenderaan barangan bermula 29 hingga 30 Mac dan 5 hingga 6 April depan,” katanya.

Jelasnya, berdasarkan statistik Op Selamat 22 pada Aidilfitri tahun lalu, sebanyak 406 kes kemalangan, dengan 4 kes maut direkodkan.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

1571
Kongsi :
Previous post ANAK MANGSA KEMALANGAN DITAWAR LANJUT PENGAJIAN
Next post ORANG JASIN KUMPUL HAMPIR 7 TAN SISA KITAR SEMULA