Sorting by

×

POLIS MELAKA KOMITED JAGA KEAMANAN NEGERI

Masa Membaca:1 Minit, 11 Saat

AYER KEROH 28 Januari – Polis Melaka berjaya menyelesaikan sejumlah 1,082 kes jenayah berbanding 1,692 kes yang dilaporkan sepanjang tahun lalu.

Pemangku Ketua Polis Melaka Datuk Md Nazri Zawawi berkata, bagi Januari hingga Disember 2024 jenayah indeks yang direkodkan pihaknya adalah sebanyak 1,692 kes berbanding 1,458 kes untuk tempoh sama tahun sebelumnya.

“Antara kes yang dilaporkan adalah membabitkan jenayah harta benda serta kekerasan antaranya mendatangkan cedera selain samun tanpa senjata api.

“Kontinjen Melaka juga berada pada kedudukan ketiga sebagai penyumbang kepada kes indeks dengan peningkatan hanya 2.90 sahaja berbanding 14 kontinjen lain di Malaysia.

“Dengan peningkatan yang kecil ini serta peratusan penyelesaian kes, jelas menunjukkan bahawa Melaka masih berada dalam keadaan selamat dan terkawal,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas Majlis Apresiasi Polis Diraja Malaysia (PDRM) Melaka Tahun 2024 Dan Lafaz Ikrar Serta Perhimpunan Bulanan PDRM Melaka Bagi Bulan Januari 2025, di Padang Kawad Ibu Pejabat Polis Kontinjen Melaka, Bukit Beruang, hari ini.

Menurut Md Nazri, statistik kemalangan jalan raya yang direkodkan Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) sepanjang tahun lalu turut menunjukkan peningkatan daripada 23,299 kes berbanding 21,790 tahun sebelumnya.

“Bagi jumlah saman pula, sebanyak 144,482 dikeluarkan dari Januari hingga Disember lalu atas pelbagai kesalahan jalan raya,” katanya.

Terdahulu, pada majlis sama turut berlangsung penyerahan surat penghargaan tolak rasuah daripada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah (SPRM) kepada lima pegawai rendah polis.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

100
Kongsi :
Previous post POLIS KESAN DUA PEMANDU ENGGAN BERI LALUAN KEPADA AMBULANS
Next post KES KOMERSIAL CATAT KERUGIAN HAMPIR RM80 JUTA