
POLIS MELAKA BURU SINDIKET CURI 4X4
AYER KEROH 16 April – Polis Melaka kini giat memburu sindiket curi kenderaan pacuan empat roda yang semakin aktif melakukan aktiviti jenayah itu di negeri ini.
Ketua Polis Melaka Datuk Dzulkhairi Mukhtar berkata, setiap minggu pihaknya akan menerima sekurang-kurangnya satu laporan kecurian membabitkan kenderaan pacuan empat roda.
Katanya, sindiket ini dipercayai menyasarkan kenderaan pacuan empat roda kerana permintaan yang tinggi di pasaran gelap termasuk negara jiran.
“Sindiket dipercayai dari kumpulan yang sama ini akan menyasarkan pacuan empat sekitar taman perumahan atau pusat beli-belah. Dipercayai suspek akan terlebih dahulu memerhati pergerakan kenderaan yang menjadi sasaran sebelum dicuri.
“Malah mereka juga dikatakan hanya mengambil masa kira-kira tiga minit untuk melarikan kenderaaan yang kemudian dibawa ke utara tanah air bagi dijual di pasaran gelap,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas Majlis Pemakaian Pangkat Dan Serah Terima Tugas Jawatan Ketua Jabatan Keselamatan Dalam Negeri Dan Ketenteraman Awam Serta Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Melaka, di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Melaka, Bukit Beruang, di sini, hari ini.
Hadir sama, Timbalan Ketua Polis Melaka, Ahmad Jefferi Abdullah; Ketua Jabatan Keselamatan Dalam Negeri Dan Ketenteraman Awam Melaka, Asisten Komisioner Nor Azizan Yusof dan Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik, Superintendan Mohd Nazri Ismail.
Menurut Dzulkhairi, setiap pacuan empat roda yang dicuri sama ada Toyota Hilux, Ford Ranger mahupun Nissan Navara itu dijual dengan anggaran RM10,000 sebuah di pasaran gelap.
“Laporan paling tinggi direkodkan di daerah Melaka Tengah dengan diikuti Alor Gajah dan Jasin. Justeru itu pihak polis kini giat memburu sindiket yang terbabit selain turut meminta kerjasama orang ramai agar sentiasa berwaspada kerana suspek bergerak tidak kira siang atau malam,” katanya.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.