Polis Melaka buka kertas siasatan isu sos cili peket
AYER KEROH 27 September – Polis Melaka membuka kertas siasatan berhubung kejadian tular membabitkan sos cili peket di sebuah restoran makanan segera di Taman Buaya Ayer Keroh, di sini.
Ketua Polis Daerah Melaka Tengah Asisten Komisioner Christopher Patit berkata, kertas siasatan itu dibuka mengikut Seksyen 506 Kanun Keseksaan selepas pengadu iaitu pekerja restoran makanan segera berusia 19 tahun membuat laporan polis di Balai Polis Ayer Keroh.
Katanya, pengadu membuat laporan berkenaan semalam, dengan alasan berasa terancam dan risau tentang keselamatan dirinya selepas pelanggan lelaki terlibat didakwa merakam insiden itu.
Katanya, hasil siasatan awal mendapati insiden itu mempunyai pelbagai versi di mana versi lelaki mendakwa lelaki telah diminta untuk membayar sos cili peket tambahan yang diminta walaupun terdapat pembelian makanan.
Manakala, versi kedua ujarnya, merupakan versi pengadu yang mendakwa dirinya dipaksa oleh lelaki tersebut untuk menjual 10 peket sos cili walaupun telah diterangkan bahawa tiada pembelian sos cili dibenarkan kerana ia diberikan secara percuma.
“Susulan itu, pengadu telah dipanggil memberi keterangan di Ibu Pejabat Polis Daerah Melaka Tengah, hari ini.
“Manakala lelaki yang menularkan mengenai kejadian itu sedang dikesan bagi merakam keterangan,” katanya.
Menurut Christopher, hasil carian mendapati terdapat satu laporan polis telah dibuat Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) selepas mengeluarkan kompaun terhadap restoran makanan segera itu.
Menurut beliau, kompaun itu dikeluarkan KPDN kerana mendapati premis terbabit tidak mempamerkan tanda harga pada barangan sos cili di premis terbabit.
“Hasil siasatan juga mendapati bahawa kejadian telah berlaku pada 22 September, namun laporan polis hanya dibuat pada semalam.
“Berikutan itu, siasatan lanjut kini masih diteruskan,” katanya lagi.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.