Polis Melaka belum terima laporan rakaman perbualan yang dikaitkan Idris
AYER KEROH 12 Okt – Polis Melaka belum menerima sebarang laporan mengenai penularan rakaman perbualan telefon dengan dua pemimpin kerajaan seperti yang tular sejak pagi tadi.
Timbalan Ketua Polis Melaka, Datuk Razali Abu Samah ketika dihubungi Melaka Hari Ini (MHI) berkata, polis sehubungan itu tidak membuka sebarang kertas siasatan setakat jam 4.20 petang ini.
“Setakat ini, kita tidak menerima laporan namun jika ada polis akan segera buka kertas siasatan. Tapi setakat ini (4.15 petang) masih belum ada laporan,” katanya.
Ditanya adakah polis menerima laporan daripada bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sungai Udang, Datuk Seri Idris Haron yang turut dikaitkan individu dalam rakaman suara itu, Razali berkata “belum menerima laporan”.
Terdahulu, Idris hari ini menafikan rakaman perbualan telefon dengan seorang pemimpin peringkat tinggi adalah suaranya.
“Itu bukan suara saya kerana saya tak hubungi orang itu dan dia pun tak hubungi saya,” kata bekas EXCO Melaka itu.
Idris menegaskan, beliau tidak pernah menghubungi pemimpin terbabit atau sebaliknya dan sama sekali tidak pernah tahu-menahu mengenai rakaman perbualan itu.
Bagaimanapun, beliau mengakui sudah mendengar rakaman perbualan berdurasi 7.04 minit itu melalui media sosial.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.